PH Hanya Pandai Cipta Masalah… Kerajaan ‘Kong Kali Kong’ – Noh
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, antara tugas kerajaan adalah menyelesaikan masalah rakyat tapi sayangnya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) hanya pandai cipta masalah.
Jelas beliau, kerajaan hari ini seakan sudah terlupa bahawa mereka bukan lagi pembangkang dan harus memikul tanggungjawab serta amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Kerajaan mungkin lupa mereka sekarang kerajaan, bukan lagi pembangkang. Sebagai kerajaan mereka patut selesai masalah dan bukan cipta masalah.
“Itu sebab bila di Dewan Rakyat kita bangun nak beritahu kerajaan sepatutnya tolong selesaikan masalah rakyat bukan cari salah orang lain. Kalau semua nak cakap salah Barisan Nasional (BN), senanglah macam tu.
“Inilah beza kerajaan BN dengan kerajaan ‘kong kali kong’,” ujar beliau ketika menjadi panel program Diskusi Dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia, yang disiarkan menerusi facebook UMNO-Online di sini, malam tadi.
Mengulas lebih lanjut jelas Noh, kerana sikap terlupa yang mereka sudah menjadi kerajaan itulah menyebabkan senario politik khususnya dalam sidang Dewan Rakyat berubah.
“Suasana Dewan Rakyat agak berbeza sekarang ini. Dulu waktu BN memerintah, kerajaan bila beri jawapan kepada ahli parlimen, jawapan amat menyakinkan berbanding kerajaan hari ini… kemungkinan sebab baru maka jawapan tidak begitu menyakinkan.
“Menteri pula cuba nak tunjuk pandai. Sebagai contoh, dalam Parlimen bila saya bangun tanya kepada menteri berapa negeri yang telah mewujudkan enakmen di bawah Artikel 12(4) agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam, saya terkejut bila menteri Agama jawab semua negeri sudah buat sedangkan saya tahu jawapan sebenar ada negeri yang belum.
“Ini asas… bila mereka tidak berapa faham tugas mereka terutama berkaitan dengan Perlembagaan dan enakmen ini maka jawapan yang diberi tidak menyakinkan,” jelas beliau lagi.
Contoh seterusnya jelas Noh, bila sesuatu undang-undang hendak dibuat, seharusnya pihak kerajaann mendapatkan mandat sepenuhnya dari rakyat kerana mereka berkhidmat untuk rakyat namun sayangnya apa yang terjadi adalah sebaliknya.
“Sebab itu dalam ucapan saya, saya katakan kerajaan PH kerajaan ‘kong kali kong’, kerajaan ‘u-turn’, kerajaan tergesa gesa dan syok sendiri. Mereka tidak mengambil pandangan rakyat dan sesama kementerian… sama-sama menteri pun tidak ada penyelarasan.
“Malaysia baru tapi Malaysia haru biru yang tidak ada koordinasi,” bidas beliau.
Tambah Noh, kerajaan hari ini ibarat tikus membaiki labu yang hanya tahu merosakkan lagi negara ini. – MediaUMNO