Kerajaan PH Masih Dibayangi Perangai Salahkan Kerajaan Dahulu – Azeez
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Bekas Pengerusi Tabung Haji (PH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam sesi di Dewan Rakyat semalam.
Menurut beliau Mujahid hanya perlu menjawab ‘forward plan’ dan bukannya masih dibayangi oleh sikap dan tindak-tanduk menyalahkan kerajaan lama.
“Saya tanya sungguh-sungguh… tapi jawapannya tetap sama, sepatutnya Mujahid harus memberikan jawapan ‘forward plan’ kerajaan hari ini tetapi ia masih lagi menuduh kerajaan lama.
“Sebagai seorang Menteri, beliau harus bertanggungjawab segala soalan yang ditanya di dalam Dewan,” tegasnya kepada UMNO-Online.
Tambah Azeez kerajaan seharusnya mempunyai pelan yang tersusun dan bukannya masih menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) atas apa-apa persoalan yang ada.
“Sewajarnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai perancangan yang teratur dan tersusun supaya tidak menyalahkan dan mempertikaikan kerajaan dahulu.
“Saya fikir jawapan yang diberikan oleh Mujahid tidak bagus dan cara jawapannya tidak profesional … dia tiada fakta selain putar belit perkara sama,” ujarnya lagi.
Dalam sesi soal jawab yang berlangsung semalam, Mujahid gagal memberikan jawapan selain terus-terusan menyalahkan kerajaan dahulu sehingga menimbulkan pertikaman lidah dari blok pembangkang.
Terdahulu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa telah bertanyakan soalan tambahan kedua kepada Mujahid sama ada kerajaan bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kepincangan dalam TH.
Bagaimanapun ketika menjawab soalan, Mujahid menjelaskan kekeliruan mengenai TH bukanlah pada rakyat tetapi hanya berlaku dalam kalangan pembangkang dan mendakwa masalah manipulasi perakaunan hanya diwarisi daripada kerajaan terdahulu. –MediaUMNO