“Guan Eng Ini Kalau Satu Hari Tak Menipu, Dia Tak Selesa” – Najib
KUALA LUMPUR, 27 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyelar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berterusan membuat pembohongan.
Sinis Najib dalam satu hantaran di Facebook, Guan Eng jika sehari tidak menipu hidupnya tidak akan selesa.
“Guan Eng ini kalau satu hari tak menipu, dia tak selesa. Hari ini, dia tuduh sebanyak RM150 bilion telah hilang akibat rasuah kerajaan terdahulu dan ini menjejaskan keupayaan untuk kerajaan PH untuk berbelanja.
“Ini satu lagi pembohongan Guan Eng. Pertama sekali, perbelanjaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tahun 2019 dan 2018 adalah jauh lebih tinggi berbanding tahun 2017 di bawah Barisan Nasional (BN),” tegas Najib yang juga bekas Menteri Kewangan.
Bagi menguatkan hujahnya, Najib membawakan fakta mengenai perbelanjaan antara kerajaan BN dan juga PH.
“2015 – RM274 bilion; 2016 – RM259 bilion (diturunkan berbanding bajet asal pada ubahsuai bulan Jan 2016 setelah harga minyak dunia jatuh ke bawah US$30 satu tong); 2017 – RM261 bilion; 2018 – RM286 bilion dan 2019 – RM315 bilion.
“Ini termasuk bajet tambahan untuk tahun 2018 sebanyak RM19.6 bilion yang diluluskan kerajaan PH pada bulan April 2019 akibat kerajaan PH terlebih belanja,” katanya yang turut melampirkan pautan laporan media mengenainya (klik di sini).
Dalam pada itu, Najib turut tolong memberikan jawapan mengapa Guan Eng berkata bajet kerajaan terdesak sekarang ini di bawah PH.
“Ini sebabnya. Pertama, SST menggantikan GST serta tiga bulan bebas cukai GST/SST tahun lepas menyebabkan hasil negara turun dengan banyak.
“Kedua, andaian tidak bijak untuk harga minyak dunia pada tahap US$72 satu tong semasa merangka bajet tahun 2019 menyebabkan hasil kerajaan kekurangan kerana purata harga minyak tahun ini jauh di bawah andaian ini.
“Ketiga, ekonomi yang lembab memberi kesan kepada hasil cukai yang dikutip dari rakyat dan syarikat-syarikat untuk tahun ini,” jelasnya lagi.
Begitu juga dengan tindakan kerajaan PH membiayai pelbagai projek kesayangan seperti projek Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTMP) sebanyak RM46 bilion, projek kereta nasional ketiga, projek kereta terbang dan entah apa lagi, bidas Najib.
Manakala isu yang sering menjadi bahan manipulasi dan propaganda PH terutamanya Guan Eng iaitu mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib turut menjelaskannya lagi.
“Untuk setahun lebih, Guan Eng juga kata 1MDB hilang RM30 bilion. Dua bulan kemudian, dia kata 1MDB hilang RM52 bilion pula.
“Kini dia memberi gambaran bahawa jumlah kehilangan 1MDB adalah sebanyak RM150 bilion.
“Kebenarannya ialah 1MDB tak hilang RM30 bilion. Kerajaan tak pernah bayar RM30 bilion kepada 1MDB. Wang itu dipinjam. Ini bermakna 1MDB masih ada hutang RM30 bilion yang perlu dibayar pada tahun 2039,” katanya lagi.
Walaupun begitu tegas Najib, 1MDB mempunyai perjanjian penyelesaian dengan IPIC di mana negara boleh mendapat balik semua wang yang didakwa hilang setelah dihantar dan dijamin oleh IPIC sebelum 31 Disember 2020.
“Ini diakui oleh peguam negara PH pada bulan lepas (pautan, klik di sini).
“1MDB juga ada projek Bandar Malaysia yang bernilai RM140 bilion dan projek TRX RM40 bilion yang kini dipuji-puji oleh kerajaan PH sebagai projek penting dan projek yang amat menguntungkan.
“Semua ini tentu akan membolehkan 1MDB menjelaskan segala hutang mereka sebelum tempoh pinjaman tamat pada tahun 2039,” tambahnya.
Tetapi, apa yang berlaku kata Najib, Guan Eng tidak akan menjelaskan semua ini kepada rakyat.
“Kalau ditanya, dia akan buat bodoh dan membisu sahaja. Saya jangka selepas ini, Guan Eng akan cuba menyalahkan BN kerana hutang negara telah naik dengan kadar jauh lebih cepat di bawah mereka.
“Dia akan cakap ‘rasuah BN’ memaksa PH meminjam.
“Dia tidak akan tak mengaku kelemahan sendiri dan tetap cuba untuk menyalahkan BN untuk segala-galanya,” bidasnya. – MediaUMNO