Sarawak Jadi Hab Timbang Tara Antarabangsa Borneo Tahun Depan – Azalina

KUCHING, 19 Okt – Sarawak bakal menjadi hab serantau bagi timbang tara antarabangsa di Borneo menerusi penubuhan pejabat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan pejabat itu juga dijangka menyaksikan peningkatan aktiviti perniagaan dan perdagangan antarabangsa di Borneo.

“Selain itu, kemudahan itu juga akan membuka ruang kepada pengamal undang-undang di Sarawak dan Sabah untuk meneroka bidang timbang tara antarabangsa yang beroperasi mengikut piawaian antarabangsa… sebab Sarawak memang pesat dalam aspek aktiviti perniagaan dan perdagangan antarabangsa.

“Penubuhan pejabat kedua itu dijangka meningkatkan aktiviti AIAC di Sarawak, selain memberi manfaat kepada komuniti perundangan, khususnya peguam di Sarawak dan Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pemeteraian perjanjian rasmi berhubung penubuhan pejabat AIAC Sarawak yang turut disaksikan
Perjanjian rasmi itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Danesh Chandran.

Azalina berkata, selain meluluskan cadangan berkenaan, kerajaan negeri Sarawak turut memperuntukkan RM10 juta bagi menaik taraf Bangunan Tekstil Kuching yang akan menempatkan kemudahan AIAC Sarawak itu.

Katanya, pembangunan AIAC Sarawak juga mencerminkan usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi yang menawarkan perkhidmatan penyelesaian pertikaian bertaraf antarabangsa. – Bernama

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO