Mansuh PTPTN: ‘Dari Dahulu Kami Sudah Beritahu…’

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan perancangan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sebelum ini diperjuangkan oleh Adam Adli.

Beliau berkata ini kerana sebarang usaha untuk memansuhkan PTPTN perlu disertakan dengan pelan yang jelas bagi memastikan pembiayaan pengajian anak-anak negara dapat diteruskan.

“Dari dulu lagi kami sudah beritahu. Hendak mansuhkan PTPTN, kena ada pelan yang jelas untuk membiayai pengajian anak-anak kita. Waktu itu, ramai tak percaya.

“Alhamdulillah, hari ini Adam Adli, yang dulu lantang memperjuangkan pemansuhan PTPTN, sendiri berkata langkah itu memerlukan perancangan yang rapi.

“Itupun selepas beliau sendiri menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Akmal turut mempersoalkan sama ada perjuangan Adam Adli untuk memansuhkan PTPTN sebelum ini sekadar retorik politik memandangkan beliau kini mengakui keperluan kepada perancangan teliti.

“Hendak tanya juga,selama sebelum jadi timbalan menteri, perjuangan hapus PTPTN itu hanyalah retorik politik kamu sahaja ke?

“Sekarang rakyat nak tahu, apa pelannya?” ujar beliau.

Untuk rekod Adam Adli merupakan aktivis mahasiswa 14 tahun yang memperjuangkan pemansuhan PTPTN. Cadangan pemansuhan PTPTN pernah menjadi antara agenda politik yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH), khususnya ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO