Keahlian BN Secara Langsung: Ahmad Zahid Seru Masyarakat India Ambil Peluang

JOHOR BAHRU, 28 Nov – Pengerusi Barisan National (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru masyarakat India untuk mengambil peluang bagi menyertai BN menerusi keahlian secara langsung.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, perkara tersebut disokong kukuh oleh klausa dalam Perlembagaan BN bahawa keahlian secara langsung boleh diterima parti.

“Dalam Perlembagaan BN, terdapat satu klausa yang menyebut dengan jelas bahawa kita boleh menerima keahlian secara langsung atau ‘direct membership’ untuk menyertai BN.

“Kita ingin menyeru mana-mana individu, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin politik dalam kalangan masyarakat keturunan India di Malaysia supaya mengambil peluang ini untuk menyertai keahlian langsung BN.

“Peluang ini dibuka kerana UMNO mempunyai program Rumah Bangsa, manakala BN pula membuka ruang yang lebih luas kepada mereka untuk menyertai BN secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Malaysia Indian Congress (MIC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MIC telah diberi tugas untuk meneliti semula kerangka Malaysia Indian Blueprint supaya disesuaikan dengan Agenda Malaysia Biru.

“Saya telah menjelaskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan MIC Kali ke-80 ini bahawa Malaysian Indian Blueprint akan genap 10 tahun pada tahun hadapan.

“Saya juga telah memberikan tugasan kepada MIC dan rakan-rakan parti komponen yang dipimpin oleh kepimpinan masyarakat keturunan India untuk duduk semeja bagi meneliti semula kerangka blueprint ini agar bersesuaian dengan Agenda Malaysia Biru yang telah saya nyatakan dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.

“Agenda Malaysia Biru bukan hanya agenda UMNO, tetapi merupakan agenda keseluruhan BN demi kepentingan negara. Saya berharap perkara ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO