Ukur Reformasi Undang-undang Melalui Kesan Kepada Rakyat

ANTARA cabaran terbesar dalam menjelaskan reformasi undang-undang adalah menterjemahkan bahasa perundangan kepada sesuatu mempunyai makna dalam kehidupan rakyat.

Rakyat mungkin tidak mengikuti setiap perbahasan rang undang-undang (RUU) di Parlimen. Namun, mereka memahami kesukaran membina semula kehidupan selepas diisytiharkan bankrap, keresahan ibu bapa apabila anak menjadi mangsa buli dan beban kewangan apabila terpaksa mendapatkan khidmat peguam untuk mempertahankan hak mereka.

Menjelang genap empat tahun, Datuk Seri Azalina Othman Said menerajui portfolio Undang Undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri (JPM), kita perlu menilai rekod pembaharuan daripada perspektif lebih dekat dengan rakyat.

Apakah sebenarnya yang telah berubah dalam kehidupan mereka?

Kelmarin, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Azalina mendedahkan 253,457 kes pelepasan kebankrapan direkodkan antara 2023 hingga September 2026.

Angka ini wajar mendapat perhatian lebih luas.

Melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 dan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua, kerajaan pada awalnya menyasarkan 130,000 pelepasan kebankrapan. Menjelang Julai 2024, sasaran itu sudah dilepasi apabila 142,510 pelepasan direkodkan.

Inisiatif ini kemudiannya diperluas melalui Program Pelepasan Fast Track 2026 yang memberikan keutamaan kepada ibu dan bapa tunggal, peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMSK), mangsa penipuan kewangan serta pembeli rumah daripada projek perumahan terbengkalai.

Hakikatnya, kebankrapan tidak semestinya berpunca kegagalan seseorang mengurus kewangan. Ada yang menjadi mangsa keadaan ekonomi, kegagalan perniagaan atau penipuan pihak lain.

Dari sudut ekonomi, memberikan peluang kepada individu terbabit untuk kembali menjalankan kegiatan ekonomi mempunyai manfaat melangkaui kepentingan peribadi mereka.

Di sinilah sumbangan Jabatan Insolvensi Malaysia dalam menterjemahkan dasar kepada pelaksanaan perlu diiktiraf. Pelepasan kebankrapan bukan sekadar perubahan status seseorang di sisi undang-undang. Ia membuka ruang untuk seseorang membina semula kehidupan, produktiviti dan masa depan keluarganya.

Perkukuh perlindungan anak, keluarga

Tidak ada ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah dengan jangkaan anak berkenaan akan menjadi mangsa buli.

Namun, apabila perkara itu berlaku, keluarga sering berhadapan persoalan mengenai saluran aduan, tindakan institusi dan bentuk penyelesaian boleh diperoleh.

Penubuhan Tribunal bagi Antibuli menerusi Akta Antibuli 2026 memperkenalkan satu mekanisme khusus untuk menangani persoalan berkenaan.

Sehingga 22 September lalu, tribunal berkenaan menerima 55 aduan dengan lima kes diputuskan melalui award, termasuk permohonan maaf, kaunseling dan pembayaran ganti rugi.

Pendekatan ini penting kerana penyelesaian terhadap kes buli tidak semestinya hanya berbentuk hukuman. Pemulihan mangsa dan pembetulan tingkah laku pelaku juga menjadi sebahagian proses keadilan.

Begitu juga pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak pada 2023 dan 2024 memperkukuh perlindungan kanak-kanak ketika memberikan keterangan di mahkamah.

Berdasarkan laporan Malaysia kepada Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, sebanyak 2,147 kes saksi kanak-kanak direkodkan antara 2023 hingga pertengahan 2025, termasuk 81 pendengaran khas.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut memperbaharui garis panduan pengendalian kes penderaan seksual kanak-kanak pada 2025.

Kesemua usaha ini membawa satu prinsip penting: proses mendapatkan keadilan tidak seharusnya menambahkan trauma kepada kanak-kanak memerlukan perlindungan.

Dekatkan keadilan kepada rakyat

Dalam kehidupan bermasyarakat, terdapat satu bentuk ketidakseimbangan jarang mendapat perhatian sewajarnya, iaitu kemampuan seseorang untuk mendapatkan pembelaan undang-undang.

Hak seseorang mungkin dijamin undang-undang. Namun, kemampuan mempertahankan hak berkenaan sering dipengaruhi kedudukan kewangannya.

Foto BERNAMA

Sejak Januari 2024, inisiatif Justice on Wheels membawa perkhidmatan bantuan guaman kepada masyarakat mempunyai akses terhad, termasuk penduduk di kawasan pedalaman.

Pada Februari 2026 pula, had pendapatan bagi kelayakan mendapatkan bantuan guaman Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk perbicaraan dan rayuan dinaikkan daripada RM36,000 kepada RM50,000 setahun.

Satu perkembangan penting ialah penggubalan Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026 (Akta 878) menyediakan kerangka baharu bagi penyelarasan perkhidmatan bantuan guaman serta pembelaan awam.

Pada 22 April lalu, Azalina turut merasmikan ruang Pejabat Pembela Awam di bangunan BHEUU, Putrajaya sebagai sebahagian persediaan pelaksanaan akta berkenaan.

Walaupun tarikh kuat kuasa akta berkenaan belum ditetapkan, pembinaan kerangka perundangan dan penyediaan institusinya menjadi perkembangan dapat diperhatikan.

Dalam sebuah negara menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, akses kepada keadilan tidak seharusnya menjadi keistimewaan mereka berkemampuan. Ia hak perlu dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.

Pembaharuan lebih menyeluruh

Rekod empat tahun Azalina turut merangkumi pemulihan autonomi Perkhidmatan Parlimen selepas 34 tahun, pemansuhan hukuman mati mandatori yang memberikan semula budi bicara kepada hakim serta penyahjenayahan cubaan bunuh diri melalui kerjasama BHEUU dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam mempertahankan kepentingan negara pula, Malaysia memperoleh keputusan penting apabila Mahkamah Rayuan Paris membatalkan award timbang tara bernilai AS$14.9 bilion (RM61.4 bilion) berhubung tuntutan Sulu pada Disember 2025.

Terbaharu, pada 26 November lalu, Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC) mengemukakan hasil kajian 18 bulan merangkumi enam jilid laporan dengan 47 syor pembaharuan terhadap Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan 1950.

Kesediaan membuka laporan itu kepada penelitian masyarakat awam turut memberikan ruang kepada rakyat mengambil bahagian dalam proses pembaharuan undang-undang negara.

Menjelang tahun kelima, dua agenda tentunya akan terus mendapat perhatian, iaitu pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.

Kedua-duanya menyentuh persoalan kebebasan institusi, pengukuhan semak dan imbang serta disiplin terhadap kuasa eksekutif.

Sekiranya disempurnakan dengan sokongan diperlukan di Parlimen, kedua-duanya akan melengkapi satu lagi dimensi penting dalam agenda reformasi penggal ini.

Akhirnya, dalam menilai prestasi sesebuah kementerian, kita perlu membezakan antara keterlihatan sesuatu dasar dengan kesannya kepada masyarakat.

Reformasi undang-undang mungkin tidak menghasilkan pembangunan fizikal boleh dilihat setiap hari. Namun bagi mereka yang memperoleh pelepasan kebankrapan, keluarga mendapat pembelaan dan individu diberikan akses kepada keadilan, perubahan itu mempunyai makna cukup besar.

Itulah perspektif pembangunan negara sering terlepas daripada perhatian kita.

Pembangunan bukan hanya mengenai kemajuan ekonomi dapat dinikmati rakyat. Ia juga sejauh mana undang-undang negara mampu melindungi rakyat ketika mereka paling memerlukan perlindungan.

Raziz Rashid
Penulis adalah Penasihat Komunikasi Strategik dan Mantan Ketua Unit Komunikasi Korporat di Jabatan Perdana Menteri (JPM)

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO