Semua Exco Diingat Tidak Lampaui Bidang Kuasa – Tuanku Muhriz

KUALA PILAH, 27 Nov – Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan diingatkan memahami batas tugas serta bidang kuasa masing-masing dan tidak bertindak melampaui kuasa serta tanggungjawab yang ditetapkan.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, setiap Exco perlu mengambil iktibar daripada kemelut yang berlaku baru-baru ini serta memastikan perkara sama tidak berulang.

Titah baginda, semua Exco juga perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap portfolio yang diamanahkan, selain melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, profesionalisme dan kebijaksanaan.

“Segala peristiwa dan isu yang tercetus baru-baru ini harus dijadikan pengajaran dan pedoman oleh semua pihak terutamanya kamu semua sebagai Exco. Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan

“Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.

“Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri,” titah baginda ketika Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Tuanku Muhriz dalam pada itu turut mengingatkan kesemua Exco supaya mengutamakan kepentingan rakyat serta melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh integriti dan profesionalisme.

“Kamu semua perlu memberikan sepenuh perhatian kepada tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Utamakan kepentingan rakyat, laksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme, serta pastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat,” titahnya.

Terdahulu, Tuanku Muhriz berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah enam EXCO Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu pagi tadi.
Enam EXCO baharu yang dilantik ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Suhaimi Aini; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir; ADUN Gemas Ridzuan Ahmad ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd. Jalil; ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria dan ADUN Repah Koh Kim Swee.- UTUSAN

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO