Hormati Institusi Raja, Pelihara Kedaulatan Negara – Abdul Aziz

KUANTAN, 27 Nov – Seluruh rakyat Malaysia perlu terus menghormati dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu kerana kedudukannya merupakan tonggak penting dalam menjamin kestabilan, perpaduan serta kedaulatan negara.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, institusi Raja-Raja Melayu bukan sekadar warisan sejarah, sebaliknya mempunyai kedudukan dan peranan penting dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang menjadi asas pembentukan negara.

Beliau berkata, perkembangan mutakhir yang menyaksikan pelbagai isu membabitkan tindakan dan kenyataan yang dilihat tidak menghormati titah Raja-Raja Melayu perlu diberikan perhatian serius.

Menurutnya, setiap rakyat harus memahami bahawa menghormati Raja bukan hanya soal adat dan budaya, tetapi turut mencerminkan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan serta institusi kenegaraan.

“Raja-Raja Melayu merupakan sebahagian daripada tiang seri negara. Kita boleh berbeza pandangan dalam sebuah negara demokrasi, tetapi jangan sampai perbezaan itu menyebabkan kita hilang rasa hormat terhadap institusi Raja.

“Titah Raja perlu diberikan perhatian dan dihormati. Kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang boleh mencemarkan kemuliaan institusi beraja,” katanya.

Abdul Aziz berkata, masyarakat perlu mengamalkan budaya berfikir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, khususnya perkara yang menyentuh institusi Raja-Raja Melayu.

Katanya, sebarang perbezaan pandangan hendaklah disuarakan secara berhemah, mengikut saluran yang betul dan berlandaskan undang-undang.

Beliau turut menegaskan bahawa generasi muda perlu diberikan pemahaman lebih mendalam mengenai sejarah Raja-Raja Melayu, sistem Raja Berperlembagaan dan kepentingan institusi tersebut dalam memelihara kestabilan negara.

“Kita tidak mahu generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang semakin luntur rasa hormat terhadap institusi Raja. Prinsip Raja dan rakyat berpisah tiada perlu terus dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat.

“Memelihara kemuliaan Raja-Raja Melayu bermakna kita turut memelihara asas perpaduan, kestabilan dan kedaulatan Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz mengetuai delegasi MUBARAK Malaysia bersama MUBARAK Negeri Pahang menghadap Sultan Pahang di Istana Abdul Aziz, Kuantan, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, delegasi berkenaan turut menyembahkan buku Tokoh MUBARAK Malaysia dan Tokoh MUBARAK Negeri Pahang: Berkhidmat Tanpa Noktah kepada Sultan Pahang.

Penyerahan buku tersebut merupakan penghargaan terhadap jasa dan khidmat bakti tokoh-tokoh bekas wakil rakyat yang telah menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat, selain menjadi dokumentasi sejarah untuk rujukan generasi akan datang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO