Tanggungjawab Bersama, Kepentingan Rakyat Jadi Keutamaan – Ab Rauf

MELAKA, 25 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh menegaskan kepentingan kesepaduan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi memastikan pentadbiran negeri terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Penegasan itu disampaikan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat EXCO pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.

Menurut Ab Rauf, barisan EXCO kali ini menggabungkan pengalaman pemimpin sedia ada dan tenaga baharu, sekali gus memerlukan komitmen serta kerjasama erat untuk memastikan pentadbiran negeri bergerak sebagai satu pasukan.

Beliau berkata, perbezaan antara EXCO lama dan baharu bukan ukuran utama, sebaliknya kesungguhan, kesepaduan serta keupayaan setiap anggota melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat.

“Bagi saya, soal siapa yang lama atau baharu bukanlah ukuran utama. Yang lebih penting ialah kesungguhan, kesepaduan dan keupayaan kita bekerja sebagai satu pasukan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Ab Rauf turut mengingatkan bahawa mandat yang diberikan rakyat bukan satu keistimewaan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah besar yang wajib ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau mahu seluruh barisan pentadbiran negeri bergerak seiring, mempercepatkan pelaksanaan tugas, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap dasar dan perancangan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.

Menurutnya, kepercayaan rakyat perlu diterjemahkan melalui hasil kerja dan bukannya sekadar janji atau kata-kata.

“Kepercayaan rakyat mesti dibalas dengan kerja, bukan sekadar kata-kata. Amanah mesti ditunaikan, janji mesti ditepati!” tegas beliau.

Beliau turut menyeru seluruh barisan EXCO agar terus memberikan komitmen dan bekerja bersungguh-sungguh dalam memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat Melaka terus menjadi keutamaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO