Pembangunan Sempadan Dipercepat, Persediaan Hadapi Perpindahan Ibu Negara Indonesia
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Kerajaan sedia mempercepat pelaksanaan kesemua projek pembangunan di kawasan wilayah sempadan termasuk di Serian-Tebedu bagi memastikan negara bersedia menghadapi perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu penting kerana kawasan sempadan bukan sahaja berfungsi sebagai garisan pemisah keselamatan, malah bertindak sebagai pintu masuk utama yang berpotensi tinggi merancakkan aktiviti perdagangan dan sosioekonomi serantau.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi tujuan berkenaan Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sarawak terus memperkasakan jalinan kerjasama strategik bagi menaik taraf infrastruktur komprehensif di zon sempadan

“Ia antara lain merangkumi keutamaan seperti naik taraf kemudahan pintu masuk antarabangsa, ketersambungan jalan raya, utiliti asas serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, yang mana bertujuan mewujudkan ekosistem wilayah sempadan yang kondusif, selamat dan berdaya saing.
“Sinergi erat ini bukan sahaja merapatkan jurang pembangunan antara luar bandar dan bandar, malah memposisikan Serian-Tebedu sebagai hab logistik dan pintu masuk ekonomi utama Malaysia dalam memanfaatkan peluang pertumbuhan sosioekonomi daripada pembangunan Kota Nusantara, Kalimantan.” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Richard Riot Joem (OPS-Serian) mengenai kerjasama persekutuan dan negeri dalam mempercepat pembangunan infrastruktur di kawasan sempadan Serian-Tebedu.
Menurut Ahmad Zahid, antara kerjasama strategik yang terjalin termasuk memperkasakan mekanisme penyelarasan bersama menerusi jawatankuasa tindakan khas antara agensi Persekutuan dan Negeri bagi memantau kelulusan, mempermudah birokrasi serta memastikan kelancaran projek di kawasan sempadan.
Selain itu, beliau berkata ia turut merangkumi kerja menaik taraf standard dan kapasiti jalan raya utama sempadan bagi menampung peningkatan trafik kenderaan komersial, melalui kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Sarawak melibatkan laluan utama Serian-Tebedu.
“Kerjasama ini turut meliputi usaha menaik taraf kualiti jalan raya bagi menampung peningkatan trafik kenderaan berat ekoran pembukaan Ibu Kota Nusantara (KN) Indonesia di Kalimantan sekaligus menghubungkan laluan ini secara terus ke Lebuhraya Pan Borneo.
“Tidak ketinggalan untuk menaik taraf kapasiti fasiliti kesihatan awam tempatan, kelengkapan perkhidmatan kecemasan melalui usahasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Tebedu dan Hospital Serian,” katanya.
Ahmad Zahid berkata zon kawalan/saringan kesihatan awam moden juga akan disediakan di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bagi menangani ancaman penyakit berjangkit rentas sempadan demi kesejahteraan komuniti di sempadan.
“Kita juga akan mengintegrasikan teknologi dan keselamatan dengan penerapan sistem pengurusan sempadan berasaskan teknologi pintar dan automasi bagi mempercepat proses pemprosesan dokumen serta memperketat kawalan keselamatan di laluan strategik” katanya. – BERNAMA
