Siti Aisyah Turun Padang, Bawa Aduan Penduduk Kepada JKR

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengakalan Batu, Siti Aisyah Mahmood berbesar hati mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka bagi mengetengahkan beberapa isu infrastruktur dan kemudahan awam yang memerlukan perhatian.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata pertemuan bersama Pengarah JKR Negeri, Datuk Ir. Mohamad Salzeli Moktar itu menjadi ruang untuk menyampaikan pelbagai aduan serta permasalahan penduduk setempat.

“Beberapa isu berkaitan infrastruktur, sistem perparitan dan kemudahan awam telah dibangkitkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk perhatian dan tindakan lanjut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, antara perkara yang dibangkitkan ialah keperluan pembinaan dan penambahbaikan longkang di Taman Rumpun Bahagia dan Taman Seri Cempaka bagi mengatasi masalah banjir.

Selain itu, masalah aliran air yang tidak lancar di sepanjang Jalan Bachang serta kejadian banjir berhampiran kawasan rumah mayat di Jalan Hospital turut dikemukakan untuk perhatian pihak berkenaan selain beberapa perkara lain melibatkan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam.

“Semua perkara ini dibangkitkan demi memastikan aspek keselamatan, keselesaan pengguna jalan raya serta kesejahteraan penduduk setempat sentiasa diberi perhatian.

“Semoga segala aduan dan permohonan ini dapat diteliti serta diambil tindakan sewajarnya oleh pihak JKR.

“Insya-Allah, saya akan terus membawa suara rakyat, menyampaikan isu dan mencari jalan penyelesaian,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO