KPK Perkukuh Pendigitalan Perkhidmatan Melalui BLESS, MyPermit
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkukuh pendigitalan perkhidmatan menerusi BLESS Generasi Baharu dan Sistem MyPermit.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, sistem tersebut adalah untuk memudahkan para pengusaha menyemak keperluan dokumen dan status permohonan dengan lebih mudah.

“Pada Sekasa saya berkesempatan menyempurnakan pelancaran eLesen BLESS Generasi Baharu dan Sistem MyPermit sempena Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Pelesenan dan Penguatkuasaan Sektor Agrikomoditi 2026.
“Kedua-dua sistem ini merupakan antara inisiatif KPK dalam memperkukuh pendigitalan perkhidmatan, khususnya bagi memudahkan urusan pelesenan dan permit serta membolehkan pengusaha menyemak keperluan dokumen dan status permohonan dengan lebih mudah,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia turut menegaskan bahawa penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara adil dan berhemah.
“Dalam ucapan, turut menekankan kepentingan penambahbaikan proses dan syarat pelesenan, mempercepatkan tempoh pemprosesan permohonan serta menyediakan panduan yang jelas, khususnya kepada pekebun kecil dan pemohon kali pertama.
”Pada masa yang sama, penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara adil dan berhemah dengan memberikan tumpuan kepada aktiviti berisiko tinggi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi jaminan bahawa KPK akan terus komited dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan demi membangunkan sektor agrikomoditi negara.
“Bagi saya, pendigitalan bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi memastikan setiap penambahbaikan benar-benar memudahkan urusan rakyat dan pemain industri.
“Insya-Allah, KPK akan terus komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan responsif demi pembangunan sektor agrikomoditi negara,” katanya lagi. – UMNO Online
