Melaka Menuju Bandar Maritim Masa Hadapan

MELAKA, 25 Nov – Kerajaan Negeri Melaka terus mempergiat usaha merealisasikan aspirasi menjadikan negeri itu sebagai sebuah Bandar Maritim Masa Hadapan menerusi pembangunan projek Enrique of Malacca Shipyard yang bakal menjadi antara komponen penting dalam sektor maritim negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan terkini projek berkenaan telah dibentangkan dalam satu pertemuan bersama Pengarah Desan Shipyard, Mr. Cenk Ismail Kaptanoglu, bersama delegasinya di pejabat beliau di Seri Negeri, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Henry The Black Shipyard, Datuk Anuar Ahmed.

Menurut Ab Rauf, projek Enrique of Malacca Shipyard merupakan hasil kerjasama strategik antara SM-WEZ Corporation, Henry The Black Shipyard Sdn. Bhd. dan Desan Shipyard dari Türkiye.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan projek seluas 42.3 ekar itu dapat direalisasikan dengan jayanya bagi menyokong pembangunan industri maritim serta menarik lebih banyak pelaburan strategik ke Melaka.

“Projek ini bukan sekadar membangunkan sebuah kawasan baharu, tetapi sedang membuka lembaran masa depan ekonomi Melaka melalui sektor maritim, pelaburan strategik, pemindahan teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat,” katanya.

Tambah beliau, projek berkenaan turut menjadi sebahagian daripada pembangunan mega Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang melibatkan kawasan penambakan seluas 9,000 ekar, merentasi 33 kilometer pesisir pantai Melaka.

Ab Rauf berkata, pembangunan itu dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelaburan maritim yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Insya-Allah, dengan perancangan yang tersusun dan kerjasama strategik bersama rakan pelabur antarabangsa, kita terus membawa Melaka ke tahap yang lebih maju dan makmur,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO