Pembinaan ECRL Di Pahang Hampir Siap, Catat Kemajuan 99.17 Peratus
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyambut baik perkembangan kemajuan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini kerana pembinaan projek itu setakat kini mencapai 99.17 peratus setakat Oktober lalu.
“Melihat sendiri kemajuan projek ini, sudah pastinya saya berasa bangga kerana pembinaan ECRL di Pahang kini mencapai 99.17 peratus, mengatasi kemajuan keseluruhan jajaran Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak yang mencatatkan 99.03 peratus setakat Oktober lalu.
“Ini bermakna, laluan sepanjang 258 kilometer yang merentasi Pahang kini berada di peringkat akhir pelaksanaan, menjelang pengoperasian komersial yang dijadualkan bermula pada 12 Disember ini,” katanya.
Katanya menerusi satu hantaran di Facebook selepas mengiringi Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Stesen ECRL KotaSAS, pada pagi ini.
Mengulas lanjut beliau berkata ECRL bukan sekadar projek pengangkutan yang menghubungkan negeri, sebaliknya turut membuka peluang baharu kepada pembangunan ekonomi Pahang.
Dalam pada itu Wan Rosdy turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus mengutamakan kepentingan rakyat menerusi aspirasi Pahang 1st yang membawa pendekatan kerajaan prihatin dan rakyat diutamakan.
“Lebih besar daripada itu, saya melihatnya sebagai satu peluang untuk membuka lembaran baharu pembangunan ekonomi negeri dengan pembangunan berorientasikan transit TOD di semua tujuh stesen di Pahang yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan bandar baharu, menarik lebih banyak pelaburan, merancakkan aktiviti perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Insya-Allah, ECRL akan menjadi antara pemangkin penting dalam membawa Pahang ke tahap pembangunan yang lebih maju dan berdaya saing, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Semoga segala perancangan dan usaha ini membawa manfaat yang berpanjangan kepada negeri serta seluruh rakyat Pahang,” ujar beliau. – UMNO Online
