Ayahanda Mohd Rafi Meninggal Dunia, UMNO Rakam Takziah

KUALA LUMPUR, 23 Nov – UMNO merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, atas pemergian ayahanda tercinta, Allahyarham Datuk Alli Hassan Yacub.

Allahyarham telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Sunway Medical Centre.
Seluruh keluarga besar UMNO menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan tersebut serta mendoakan agar Mohd Rafi dan seluruh ahli keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi ujian ini.

UMNO turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima segala amal kebajikan serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mengurniakan keampunan dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. Al-Fatihah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO