ANGKASA Perkasa Agenda Hijau, Teroka Kerjasama EV – Abdul Fattah

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian alam sekitar menerusi pendekatan mesra alam (Go Green), selain meneroka peluang kerjasama strategik dalam sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV) yang berpotensi memberikan manfaat langsung kepada gerakan koperasi serta anggotanya.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar bukan sekadar menyokong saranan kerajaan, malah mencerminkan kesungguhan ANGKASA dalam memperluas amalan pembangunan mampan demi kepentingan masa hadapan.

Jelasnya, usaha tersebut turut diterjemahkan menerusi perbincangan strategik yang memberi tumpuan kepada cadangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), khususnya dalam segmen automotif dengan membabitkan kerjasama rakan perbankan dan pengeluar kenderaan elektrik (EV).

“Komitmen ANGKASA terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar dan amalan mesra alam (Go Green), selaras dengan saranan serta penekanan kerajaan terhadap kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

“Dalam perbincangan yang diadakan, kedua-dua pihak membincangkan cadangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), khususnya bagi kerjasama dalam segmen automotif yang melibatkan rakan kerjasama perbankan dan pengeluar EV.

“Perbincangan turut merangkumi potensi kerjasama yang boleh dimanfaatkan oleh koperasi dan anggota, selain peluang memperkukuh hubungan strategik pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, usaha meneroka peluang kerjasama berkenaan diharap dapat membuka ruang kepada manfaat baharu untuk gerakan koperasi, di samping memperkukuh penglibatan ANGKASA dalam agenda kelestarian dan pembangunan ekonomi hijau negara.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, sentiasa mengalu-alukan pandangan, idea dan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi memastikan gerakan koperasi terus berkembang serta mampu memberikan manfaat lebih besar kepada anggotanya.

“ANGKASA sentiasa mengalu-alukan cadangan penambahbaikan serta jalinan kerjasama yang baik, khususnya dalam usaha memperkukuh gerakan koperasi.

“Harap kerjasama yang dibincangkan dapat membuka ruang kepada pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat serta kepentingan bersama kepada semua pihak,” ujarnya.

Tambah beliau, jalinan kerjasama berkenaan bukan sahaja dapat memperluas peluang pembangunan koperasi, malah menjadi pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif yang lebih berkesan, mampan dan memberi impak positif kepada seluruh ekosistem koperasi negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO