Pemasangan Lampu Jalan Tumpu Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan
KUALA LUMPUR, 23 Nov – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan kementerian menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa berusaha untuk memastikan kualiti infrastruktur dan keselamatan pengguna Jalan Persekutuan sentiasa berada pada tahap optimum menerusi pelaksanaan Program Penyenggaraan Jalan Persekutuan.
Beliayu yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata antaranya adalah pelaksanaan, kerja-kerja mengecat semula garisan jalan dalam Daerah Sepang.
“Pada tahun 2024 melibatkan Laluan Persekutuan FT29 (Jalan Puchong–Putrajaya), Seksyen 44.50 hingga Seksyen 55.00, di sepanjang 10.50 kilometer.
“Skop kerja tersebut meliputi mengecat semula garisan jalan dan kerja-kerja berkaitan melibatkan kedua-dua arah kiri dan kanan, dengan kos kelulusan sebanyak RM219,999.11.
“Pada tahun 2026, kerja mengecat semula garisan jalan di Laluan Persekutuan FT30 dari Seksyen 0.00 hingga 4.00, melibatkan kedua-dua arah telah diluluskan di bawah Program Bukan Berkala Pavemen Fasa 2 tahun 2026, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
“Skop kerja ini bermula pada 12 Ogos 2026 dan siap pada 31 Oktober 2026,” katanya.
Ahmad berkata demikian ketika menjawab Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) berkenaan status penyelenggaraan lampu dan garisan jalan bagi laluan FT29 serta FT30 sekitar sempadan Putrajaya.
Berhubung status Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya, beliau berkata ia memberi keutamaan kepada aspek keselamatan melalui pemasangan lampu jalan secara setempat dan berskala kecil di lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.
“Fokus di kawasan yang berisiko kemalangan akibat keadaan jalan gelap, termasuk di persimpangan, selekoh, jambatan serta kawasan yang mempunyai rekod kemalangan, berdasarkan keperluan pencahayaan.
“Jumlah keseluruhan lampu yang tidak berfungsi di sepanjang Jalan Persekutuan di FT29 dan FT30 adalah sebanyak 720 unit. Antara salah satu faktor yang menyebabkan lampu jalan tersebut tidak berfungsi adalah disebabkan kecurian kabel bawah tanah.
“Sebanyak 450 unit lampu jalan yang tidak berfungsi di laluan FT29 dan FT30 adalah disebabkan insiden kecurian kabel yang berlaku di lokasi terbabit. ,” ujar beliau. – UMNO Online
