Wanita MCA Tonggak Perpaduan, Perkukuh Kesepakatan BN

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Perpaduan, semangat setiakawan dan kesepakatan antara parti komponen perlu terus menjadi kekuatan utama Barisan Nasional (BN) dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap gabungan itu.

Setiausaha Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Rosni Sohar berkata, meskipun parti komponen mempunyai perbezaan dari segi parti, kaum dan latar belakang, namun semuanya disatukan oleh semangat serta perjuangan yang sama demi rakyat dan negara.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Perhimpunan Agung Ke-4 Perwakilan Pusat Wanita MCA Penggal Ke-17 di Dewan San Choon, Wisma MCA, di sini, hari ini.

“Kita mungkin berbeza parti, kaum dan latar belakang, tetapi kita disatukan oleh satu semangat dan satu perjuangan demi rakyat dan negara,” katanya.

Menurut Rosni, kekuatan BN tidak hanya bergantung kepada kerjasama politik, sebaliknya turut berteraskan hubungan erat, persefahaman dan komitmen berterusan dalam kalangan parti komponennya.

Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf peranan serta legasi Wanita MCA yang mempunyai sejarah besar dalam perjuangan kepimpinan wanita negara.

Katanya, legasi berkenaan perlu diteruskan dengan keberanian membawa perubahan, memperkasa ekonomi wanita serta membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda untuk tampil sebagai pemimpin masa hadapan.

“Legasi ini perlu diteruskan dengan keberanian membawa perubahan, memperkasa ekonomi wanita, membuka ruang kepada kepimpinan generasi muda serta terus memperjuangkan kebajikan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh kepimpinan dan ahli Wanita BN, khususnya Wanita MCA, untuk terus memperkukuh kepimpinan wanita serta meningkatkan khidmat bakti kepada masyarakat.

Rosni berkata, keyakinan rakyat terhadap BN perlu dibina melalui usaha dan khidmat berterusan, sekali gus memastikan perjuangan gabungan itu terus relevan dalam mendepani cabaran semasa.

Terdahulu, beliau turut merakamkan tahniah kepada Ketua Wanita MCA, Senator Datuk Wong You Fong serta seluruh kepimpinan dan ahli Wanita MCA atas penganjuran perhimpunan berkenaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO