Pendekatan Digital Jadi Teras Gerak Kerja Penerangan UMNO – Azalina

KUALA KRAU, 21 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pendekatan digital kini menjadi teras gerak kerja penerangan parti khususnya mendepani kempen pilihan raya.

Kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu, selaras dengan peredaran semasa, bahagian seharusnya mempersiapkan diri dengan pasukan digitalnya hingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Penekanan kita banyak kepada pendekatan digital. Kita tahu isu semasa, selalu kita akan respons. Tapi yang penting kita nakkan kesusunan di bahagian dan fokus kepada persediaan digital di peringkat PDM untuk pilihan raya nanti.

“Dan harapan kita bahagian akan menyediakan ‘team-team’ mereka di peringkat PDM supaya bukan sekadar seperti ‘like’, ‘share’, ‘comment’, ‘respond’, pengkhususan, tetapi yang penting kita bagi landskap digital, ‘political messaging’ kepada parti,” katanya kepada UMNO Online.

Azalina ditemui selepas Program Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia peringkat Negeri Pahang di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kasim, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Ahli MKT UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Jelas Azalina lagi, corak kempen pilihan raya kini tidak lagi tertumpu semata-mata secara fizikal, malah semakin ramai pengundi dalam sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tergolong dalam usia 40 tahun dan ke bawah yang dikenali sebagai generasi media sosial.

“Saya lebih khuatir kalau kita terlampau ‘confident’ dari segi gerak kerja secara fizikal kita lupa pendekatan media sosial. Itu yang saya mengarahkan jentera penerangan pusat untuk menggerakkan lebih banyak kursus demi kursus, kefahaman dan pendekatan secara praktikal,” katanya yang akan memberi fokus kepada peringkat PDM selepas ini.

Tambahnya lagi, gerak kerja penerangan di sesuatu kawasan mestilah selari dengan pendekatan media sosial, tidak hanya sesama sendiri dan sampai kepada kumpulan sasaran.

“Komunikasi politik kita pun tak boleh fokus hanya kepada komunikasi sesama kita. Dan dengan ada media sosial, kita boleh ‘outreach’ kepada mereka yang bukan ahli parti. Itu bagi saya sesuatu yang sangat-sangat penting. Persediaan kita kepada penyokong-penyokong dan juga mereka yang bukan ahli parti.

“Jadi bukan saja kita menghantar mesej dari segi media sosial tapi kita menerima pandangan. Yang bagi saya kelebihan media sosial ini banyak orang suka memberi pendapat mereka dan kita sebagai ahli parti kena mendengar. Sebab pendengaran itu akan memberikan kita kefahaman lebih. Tak boleh lagi budaya syok sendirilah sebagai ahli parti sekarang,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO