Semangat Kesukanan Pemangkin Budaya Kerja Positif, Harmoni
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berharap agar semangat kesukanan akan terus menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang positif dan harmoni.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah berkesempatan memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Tahun 2026 di Putrajaya pada Jumaat.

“Saya berkesempatan bersama-sama warga KPK memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara Peringkat KPK Tahun 2026 di Putrajaya.
“Suasana cukup meriah dengan sorakan dan gelak tawa warga kementerian yang begitu bersemangat menyertai pelbagai aktiviti, bermula dengan brisk walk 10,000 langkah, senamrobik sehinggalah acara sukaneka melibatkan tiga rumah sukan iaitu Merah, Biru dan Hijau,” katanya.
Ujarnya, program tersebut turut menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuh hubungan sesama warga kerja.
“Bagi saya, program seperti ini bukan sekadar medan untuk beriadah atau berentap dalam pertandingan, tetapi juga ruang untuk kita mengeratkan silaturahim, membina semangat berpasukan dan memperkukuh hubungan sesama warga kerja.
“Saya turut mengingatkan bahawa amalan gaya hidup sihat perlu dijadikan sebahagian daripada rutin harian. Kesihatan fizikal dan kesejahteraan diri merupakan antara asas penting untuk membentuk warga kerja yang lebih produktif dan berdaya saing.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua jawatankuasa penganjur serta warga KPK yang telah menjayakan sambutan ini. Teruskan kekal aktif, sihat dan cergas. Semoga semangat kesukanan ini terus menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang positif dan harmoni,” katanya lagi. – UMNO Online
