Kebajikan Pekebun Kecil Dan Kecemerlangan Pendidikan Terus Jadi Keutamaan
BENTONG, 20 Nov – Usaha meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil getah serta memperkukuh kecemerlangan pendidikan dalam kalangan generasi muda terus menjadi antara agenda penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat di daerah ini.
Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, pembangunan masyarakat luar bandar perlu dilaksanakan secara berterusan dengan memberi perhatian kepada keperluan rakyat, khususnya golongan pekebun kecil yang bergantung kepada sektor getah sebagai sumber pendapatan.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pegawai RISDA Daerah Bentong, Nurul Jannah Mohd Nor, bersama Salleh Hashim dan Abd Halim Kusni dalam satu pertemuan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan masyarakat luar bandar.

Menurutnya, perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan peluang bantuan, program pembangunan RISDA serta inisiatif meningkatkan taraf kehidupan dan kebajikan pekebun kecil getah.
“Kita mahu setiap usaha pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat dan memberi manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan. Kebajikan pekebun kecil tidak boleh dipandang ringan kerana mereka merupakan antara kelompok penting yang menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama antara agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat dapat terus diperkukuh supaya setiap permasalahan di peringkat akar umbi dapat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan.
Dalam program berasingan, Mohamad Zaini yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong turut diberi penghormatan menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas utama dalam membina masa depan lebih baik, bukan sahaja kepada seseorang individu, malah keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Pendidikan merupakan pelaburan paling bernilai untuk mengubah kehidupan. Saya mahu anak-anak muda memanfaatkan peluang yang ada, belajar bersungguh-sungguh, menjaga disiplin dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan tidak hadir secara kebetulan, sebaliknya memerlukan usaha berterusan, pengorbanan, disiplin serta doa.
“Kita bukan sekadar mahu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan, tetapi generasi berilmu, berakhlak dan mempunyai kemampuan untuk menyumbang kembali kepada keluarga, masyarakat serta negara,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan masyarakat perlu bergerak seiring antara pengukuhan ekonomi rakyat dan pembinaan modal insan kerana kedua-duanya merupakan asas penting untuk membentuk komuniti yang lebih berdaya maju, sejahtera dan mempunyai masa depan yang cerah.
Majlis itu turut dihadiri Pengetua SMK Karak Setia, Puan Hajah Zarina Puteh; wakil Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Bentong, Encik Junaidi bin Mohamad; Pengerusi Bulan Sabit Negeri Pahang, Datuk Zainal Azman Bidin, selain barisan guru, ibu bapa dan para pelajar. – UMNO Online
