Wanita UMNO Perkukuh Gerak Kerja PRU16, Aplikasi Digital Dalam Komunikasi
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Kursus Penerangan Bersama Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian Seluruh Malaysia menjadi platform memperkukuh pengetahuan dan kemahiran jentera penerangan wanita dalam mendepani perkembangan komunikasi serta landskap digital semasa menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Program yang berlangsung di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini menghimpunkan Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian dari seluruh negara menerusi pelbagai pengisian berkaitan penerangan, pendigitalan dan komunikasi berkesan.

Kursus dimulakan dengan pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan ucapan aluan oleh Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob.
Di dalam ucapannya, beliau berpandangan bahawa pengukuhan jentera penerangan parti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan melibatkan Wanita UMNO bahagian-bahagian.
Jelasnya, pengukuhan peranan penerangan bukan hanya tertumpu kepada peringkat pusat malah perlu melibatkan akar umbi bahagian bagi memastikan gerak kerja yang dirancang dapat dilaksanakan.
Program kemudian diteruskan lagi dengan sesi ucapan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau telah menzahirkan pandangan bahawa kaedah komunikasi konvensional tidak lagi boleh dijadikan satu-satunya medium untuk mendekati masyarakat.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula meneruskan program dengan menyampaikan ucapan yang sarat dengan harapan untuk menyuntik semangat para jentera penerangan Wanita UMNO.

Antara pengisian utama kursus ini ialah sesi Digital Now yang disampaikan oleh Pengarah Komunikasi Strategik kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Ahmad Raziz Rashid, diikuti sesi My JR oleh Bidowi Bahari.
Peserta turut mengikuti aktiviti interaktif menerusi Kahoot bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan melibatkan penyertaan secara aktif.
Kursus diteruskan dengan sesi Voice Up! (Speak, Create, Influence) yang dikendalikan oleh Aminnur Rasyeed Roslay, sebelum diakhiri dengan minum petang serta sesi bergambar dan bersurai.
Penganjuran kursus ini mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh keupayaan jentera penerangan Wanita UMNO, khususnya dalam meningkatkan kemahiran komunikasi dan memanfaatkan platform digital bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Melalui pengisian yang disediakan, para peserta berpeluang menimba pengetahuan serta kemahiran baharu untuk dimanfaatkan dalam gerak kerja penerangan di peringkat bahagian dan akar umbi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
