Presiden Perancis Lawat Chinatown, Kenapa Tidak Malay Town?

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Persoalan mengapa Kuala Lumpur masih belum mempunyai sebuah destinasi khusus dikenali sebagai Malay Town perlu diberikan perhatian, terutama ketika identiti, ekonomi dan warisan Melayu mempunyai potensi besar untuk diketengahkan kepada dunia.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, lawatan Presiden Perancis ke Chinatown menimbulkan persoalan mengapa Kuala Lumpur masih belum mempunyai sebuah kawasan khusus yang mengangkat keistimewaan warisan Melayu.

“Jawapannya mudah. Kerana Malay Town di Kuala Lumpur masih belum wujud sebagai sebuah destinasi khusus yang mengangkat identiti, ekonomi dan warisan Melayu,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai sejarah, budaya, seni dan warisan yang cukup kaya, namun belum membangunkan sebuah kawasan yang menyatukan semua keistimewaan tersebut untuk diperkenalkan kepada dunia.

Justeru, beliau berkata UMNO Bahagian Bukit Bintang telah memperjuangkan cadangan mewartakan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) sebagai Zon Khas Ekonomi, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Bumiputera.

Katanya, usul berkenaan telah dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO 2024 dan mendapat komitmen untuk dibawa kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan selanjutnya.

“Persoalannya, sampai bila kita mahu bercakap tentang warisan Melayu tanpa menyediakan sebuah destinasi yang benar-benar mengangkatnya?” katanya.

Beliau berkata lagi, Jalan TAR berpotensi dibangunkan sebagai Malay Town Kuala Lumpur dan sudah tiba masanya cadangan itu diberikan perhatian serta diterjemahkan kepada tindakan.

Terdahulu, pada Selasa semasa lawatan rasmi ke Malaysia, Presiden Perancis Emmanuel Macron dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersiar-siar di sekitar kawasan Petaling Street termasuk di kawasan berhampiran Chinatown dengan diiringi delegasi dan pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO