Perluas Rumah Mesra Rakyat, Bantu Keluarga Memerlukan
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempercepat penyelesaian isu perumahan rakyat di kawasan yang terkesan akibat kerosakan struktur.
Katanya ini kerana usaha menangani perkara tersebut perlu disusuli dengan penyediaan lebih banyak kediaman mampu milik, khususnya bagi membantu keluarga yang terjejas.
“Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026, projek PPR Taman Permai Selagon bernilai RM23.70 juta melibatkan 67 unit rumah masih belum dapat diduduki sehingga Julai 2026 akibat kerosakan struktur berpunca daripada pergerakan tanah.
“Lebih membimbangkan, kontrak pembaikan bernilai RM2.72 juta telah ditamatkan pada 11 Mac 2025 dengan kemajuan fizikal hanya 15 peratus. Saya ingin menegaskan bahawa 67 unit rumah ini merupakan hak rakyat Beaufort yang masih belum dapat dinikmati.
“Justeru, saya memohon kementerian menjelaskan tindakan penyelesaian, termasuk penstabilan tanah, pelantikan kontraktor baharu dan garis masa penyiapan projek ini,” katanya.
Siti Aminah berkata demikian pada perbahasan pada Belanjawan 2027 Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan lebih 1,000 isi rumah di Kampung Melati, Bakalau, Jempanga dan Kuari berhadapan risiko kehilangan tempat tinggal akibat notis pengosongan tanah
“Sehubungan itu, saya turut berharap memohon supaya sekurang-kurangnya 1,000 unit PPR baharu dibangunkan di Beaufort bagi membantu keluarga terjejas,” ujar beliau.
Sementara itu, Siti Aminah turut sama berharap 200 unit Program Residensi Rakyat di Kuala Penyu di bawah RMKe-12 Rolling Plan 3 dipercepatkan dan kementerian menjelaskan status tender, nilai projek serta jadual pelaksanaannya.
“Saya menggesa supaya pembangunan PPR di Beaufort dipertimbangkan secara berfasa dan Program Rumah Mesra Rakyat diperluaskan kepada keluarga berpendapatan rendah.
“Bagi saya, perumahan bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, tetapi soal kebajikan, keselamatan dan maruah kehidupan rakyat. Jangan biarkan rakyat terus menunggu, sedangkan keperluan mereka untuk mendapatkan kediaman yang selamat semakin mendesak,” katanya lagi. – UMNO Online
