Johor Iktiraf Sumbangan, Kecemerlangan Masyarakat Orang Asli
JOHOR BAHRU, 16 Nov – Kerajaan Negeri Johor terus mengiktiraf di samping meraikan kejayaan, kecemerlangan dan sumbangan masyarakat Orang Asli dalam pelbagai bidang dalam satu Majlis Apresiasi yang diadakan di sini malam tadi.
Exconya Md Israk Abdullah berkata, di Johor, terdapat 60 buah kampung Orang Asli dengan jumlah penduduk semasa seramai 20,905 orang serta dalam kalangan mereka ramai yang telah mencipta kejayaan dan membuktikan kemampuan untuk cemerlang dalam bidang masing-masing.

“Alhamdulillah, menerusi Majlis Apresiasi Masyarakat Orang Asli Johor 2026 ini, Kerajaan Negeri Johor bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memberikan pengiktirafan kepada individu-individu cemerlang melalui pelbagai kategori anugerah, antaranya Belia, Beliawanis, Batin, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Usahawan, Pelajar dan Ikon Orang Asli.
“Paling membanggakan, Anugerah Ikon Orang Asli kali ini diberikan kepada Profesor Madya Dr. Mohamad Zulafif Rahim, anak jati Kampung Orang Asli Sri Pantai, Senggarang, berketurunan Orang Asli Kuala yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
“Tahniah diucapkan! Semoga kejayaan beliau menjadi inspirasi, khususnya kepada anak-anak muda Orang Asli untuk terus mengejar cita-cita dan membuktikan bahawa mereka juga mampu melakar kejayaan hingga ke peringkat tertinggi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri itu dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Md Israk yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, anugerah tersebut bukan sekadar penghargaan, tetapi satu pengiktirafan terhadap usaha, kesungguhan, kepimpinan dan kecemerlangan masyarakat itu yang terus menyumbang kepada pembangunan komuniti, negeri dan negara.
“Selari dengan aspirasi Maju Johor 2030 yang digagaskan oleh Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, kita mahu masyarakat Orang Asli turut sama melangkah maju, merebut peluang dan menikmati limpahan pembangunan serta kemakmuran Negeri Johor.
“Sebab itu, kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian terhadap pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli. Bagi tempoh 2023 hingga 2026, sekitar RM10.5 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi kebajikan, pendidikan, infrastruktur, perumahan, kemudahan masyarakat, kepimpinan komuniti serta pembangunan sosioekonomi.
“Kita mahu lebih ramai anak-anak Orang Asli berjaya dalam pendidikan, lebih ramai usahawan dilahirkan dan lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat ini,” katanya sambil berharap mereka terus melakar kejayaan dan menjadi inspirasi kepada masyarakat sekeliling. – UMNO ONLINE
