Kes Najib: Bertauhidlah Ketika Berkata-Kata

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Al-Hafizi Abu Bakar menyeru rakyat supaya bertauhid ketika mengeluarkan kata-kata terutamanya ketika membahaskan mengenai isu tahanan rumah yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana katanya, setiap rakyat Malaysia wajar diberikan ruang untuk membela diri mengikut lunas undang-undang yang ada termasuklah Datuk Seri Najib.

“Datuk Seri Najib Razak juga rakyat Malaysia yang wajar diberikan ruang untuk membela dirinya mengikut lunas undang-undang yang ada.

“Sebagai orang parti, saya bersyukur kerana beliau telah diberikan keringanan hukuman,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa Datuk Seri Najib telah dihukum dan masih sedang menjalaninya meskipun diletakkan di bawah tahanan rumah.

“Jangan kita hanya mempersoalkan kesalahan dan sabitan beliau sehingga lupa bahawa beliau telah pun dihukum dan menjalani hukuman hampir tiga tahun lebih di dalam penjara.

“Kalau kita sebut pasal dosa, semua orang mempunyai dosanya masing-masing. Beliau jelas telah dihukum dan menjalaninya. Kita tak tahu lagi dosa kita, bahkan takut-takut kita mencerca dan menghina beliau sehingga perlu ‘melutu’t mencari beliau di Padang Mahsyar nanti.

“Bertauhidlah ketika kita mahu keluarkan kata-kata. Kita sibuk bercerita soal kesalahan dan kesilapan orang, sedangkan kita lupa bahwa segala keburukan serta dosa kita masih Allah sembunyikan. Kita perlu mensyukuri perkara tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Najib akan dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Langgak Duta 10 November lalu bagi menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin hari ini membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu serta menggantikannya dengan perintah menjalani hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan melunaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.

Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, penelitian sewajarnya ketika menyediakan dokumen rasmi itu penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian, khususnya membabitkan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama.

Pada 18 September lalu, beliau mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO