Teruskan Gelombang Biru, Trek Rekod Jadi Bukti
MELAKA, 12 Nov – Rekod pencapaian dan pengalaman Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran menjadi sandaran utama kepada parti itu untuk terus diberi mandat oleh rakyat bagi memastikan pembangunan negeri serta kesejahteraan masyarakat dapat diteruskan.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, rekod kepimpinan BN sepanjang mentadbir negara sebelum ini dan negeri membuktikan keupayaan parti itu membawa kemajuan pesat, khususnya dalam sektor ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pengundi perlu melihat kepada pencapaian yang telah dibuktikan BN sebelum membuat keputusan dalam memilih kerajaan negeri.
“Kenapa Barisan Nasional? Kerana kita perlu melihat rekod pencapaian parti BN selama ini dan bagaimana ia telah membangunkan negeri dengan begitu pesat, bukan sahaja dari sektor ekonomi tetapi juga pendidikan serta kesejahteraan rakyat diteruskan.
“Saya percaya sekiranya masyarakat Melaka mahu pembangunan ini terus berjalan, maka undilah Barisan Nasional supaya usaha dan khidmat kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata, kesinambungan pembangunan memerlukan sebuah kerajaan yang stabil serta mempunyai rekod kepimpinan dan prestasi yang terbukti dalam membawa kemajuan kepada rakyat.
Katanya, pengalaman BN dalam membangunkan negara dan negeri merupakan kelebihan yang perlu dipertimbangkan pengundi bagi memastikan momentum pembangunan sedia ada tidak terhenti.
“Rekod kepimpinan sesebuah parti sangat penting. Kita tahu Barisan Nasional telah membangunkan negara dan menunjukkan prestasi yang begitu cemerlang. Justeru, usaha serta pencapaian ini perlu diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Sri Rahayu turut menyeru seluruh pengundi di Melaka supaya keluar mengundi pada Sabtu ini dan melaksanakan tanggungjawab memilih kerajaan negeri.

Beliau menegaskan, pemilihan kerajaan negeri bukan sekadar menentukan kepimpinan, sebaliknya menjadi faktor penting yang mencorakkan hala tuju pembangunan dan kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.
“Saya menyeru masyarakat Melaka, khususnya para pengundi, supaya mengajak rakan-rakan dan keluarga keluar mengundi serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Penting untuk kita memilih kerajaan yang stabil dan mempunyai rekod dalam membawa pembangunan kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
