Ab Rauf Cadang Tubuh Persatuan Bagi Perkukuh Gerak Kerja Sukarelawan
MELAKA, 12 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mencadangkan penubuhan sebuah persatuan khusus bagi menghimpunkan kumpulan sukarelawan yang membantu mangsa kemalangan sebagai platform menyuarakan pandangan serta memperkemas gerak kerja mereka.
Beliau berkata, penubuhan persatuan itu juga dapat menjadi penghubung antara kumpulan berkenaan dengan pihak berkuasa bagi memastikan segala usaha dan bantuan dapat diselaraskan dengan lebih baik.
Menurutnya, beliau amat tertarik dengan usaha kumpulan berkenaan yang tampil membantu masyarakat khususnya mereka yang terlibat dalam kemalangan.
“Saya melihat bahawa kumpulan-kumpulan yang bekerja untuk membantu orang yang kemalangan ini mesti kita wujudkan satu persatuan untuk dijadikan satu tempat bagi kita dapat melahirkan apa juga pandangan untuk meningkatkan lagi gerak kerja kita dan berhubung dengan pihak berkuasa dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Ramah Mesra Bersama Pengusaha Tow Truck, di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut memberi jaminan bahawa hubungan dan kerjasama dengan kumpulan berkenaan tidak akan terhenti setakat pertemuan tersebut.
Beliau berkata, satu pertemuan susulan akan diadakan dalam tempoh dua bulan selepas pilihan raya bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama berkenaan.
“Selepas kita menang, bagi saya dua bulan, saya akan panggil tuan-tuan semua untuk kita berjumpa lagi sekali,” katanya.- UMNO Online
