150 Ahli, Pemimpin BERSATU Tinggalkan Parti Menjelang Hari Pengundian
MELAKA, 12 Nov – Seramai 150 ahli BERSATU di Bahagian Hang Tuah Jaya mengumumkan keluar parti ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini memasuki fasa akhir.
Bekas Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Hang Tuah Jaya, Md Firdaus Mashor berkata, keputusan dibuat secara bersama selepas perbincangan dan muafakat antara kepimpinan dan ahli.
Menurutnya, keputusan berkuat kuasa serta-merta hari ini, dengan beliau turut meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Penerangan BERSATU Melaka.

Katanya, mereka turut menyatakan pendirian untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Antara faktor mendorong keputusan itu ialah gagasan Rumah Bangsa diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi, yang dilihat membuka ruang penyatuan semula orang Melayu dan umat Islam.
“Kami melihat gagasan ini sebagai pendekatan inklusif yang membuka ruang untuk mempertemukan semula orang Melayu dan umat Islam yang pernah berbeza haluan politik, atas semangat muafakat, hormat-menghormati dan kepentingan
bersama,” katanya ketika sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Hasnoor Sidang Hussin dan calon Perikatan Nasional (PN) DUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.
Md Firdaus berkata, mereka turut mengambil kira keperluan kestabilan politik, kepimpinan matang serta pentadbiran yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan masyarakat.
Menurutnya, UMNO dan BN dilihat wadah lebih sesuai untuk mereka meneruskan khidmat kepada rakyat, khususnya di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya. – BHarian
