Beri Peluang Ab Rauf Terus Pimpin Melaka – Ahmad Zahid
SUNGAI UDANG, 12 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merayu rakyat Melaka memberikan semula mandat kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat sewajarnya memberi peluang kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta calon-calon BN untuk terus berkhidmat, selain mempertimbangkan calon BN dan Perikatan Nasional (PN) di kawasan yang memerlukan perubahan wakil rakyat.
“Berikanlah peluang kepada Datuk Seri Ab Rauf dan calon-calon Barisan Nasional pada 14 hari bulan ini untuk diberikan mandat semula.
“Gantikanlah wakil rakyat di kawasan-kawasan yang tidak lagi dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan memberikan peluang kepada calon-calon Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Negeri Melaka ini.
“Dalam tempoh kurang 50 jam sebelum hari pengundian, pihaknya menerima laporan kajian bebas yang menunjukkan perubahan trend sokongan kepada BN, namun berharap perkembangan itu dapat dikekalkan dan dipertingkatkan sehingga hari mengundi,” katanya kepada media malam tadi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, calon-calon BN di Melaka tidak berdepan isu besar yang boleh menjejaskan perjalanan kempen, malah gabungan itu memberi penekanan kepada usaha membawa lebih banyak peluang ekonomi dan perniagaan kepada rakyat.
Beliau turut menyifatkan Ab Rauf sebagai pemimpin yang sentiasa mendekati dan menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus berharap usaha pembangunan negeri dapat diteruskan.
“Kemajuan sektor pelancongan serta kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa dan bakal dibawa ke Melaka perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya lagi.
Dalam pada itu kata Ahli Parlimen Bagan Datuk, menasihatkan pengundi supaya merancang waktu keluar mengundi berdasarkan ramalan cuaca, khususnya memilih waktu pagi bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Saya harap rakyat mengikuti ramalan cuaca dan keluar mengundi pada waktu yang sesuai ketika keadaan tidak hujan.
“Jika boleh, keluarlah pada waktu pagi supaya sekiranya hujan berlaku pada tengah hari atau sebelah petang, proses pengundian sudah dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya. – UMNO Online
