Gerak Kerja Saat Akhir Penentu Kemenangan BN – Mohamad
ALOR GAJAH, 12 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak leka menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata ini kerana fasa akhir kempen merupakan tempoh cukup penting yang memerlukan komitmen tersusun bagi memastikan kemenangan calon parti.
“Menjelang kempen ini kalau kita tidak berhati-hati dan tidak mengambil berat tentang gerak kerja jentera ia akan mendatangkan masalah kepada parti.
“Seperti yang saya sebut kita sudah buat kerja… buat kajian sikap, kita sudah tahu siapa yang bersama-sama kita untuk membantu memenangkan BN punya calon, Cikgu Mustafa.
“Tapi yang penting adalah mengeluarkan mereka pada Sabtu nanti, yang pentingnya adalah sokongan mereka itu masuk dalam kotak undi,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan ramah mesra dan minum petang bersama masyarakat Bukit Tambun, Durian Tunggal, semalam.
Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan penghargaan terhadap kerjasama erat yang ditunjukkan jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh kempen PRN Melaka.
Katanya, persefahaman antara kedua-dua parti bukan sahaja dapat dilihat di kawasan yang ditandingi BN, malah turut dizahirkan menerusi sokongan jentera BN kepada calon PN di kawasan yang tidak ditandingi parti itu.
“Alhamdulillah setakat hari ini kerjasama gerak kerja parti BN dan gerak kerja sokongan daripada PN, di mana BN bertanding, nampaknya amat baik, tidak ada apa-apa masalah.
“Dan juga di kawasan PN di mana BN tak bertanding, jentera BN khususnya UMNO memberikan dokungan yang amat kuat.
“Jadi ini dapat kita lihat sendiri di lapangan. Dan ini menterjemahkan apa yang telahpun dilakukan di Negeri Sembilan dan dibawa ke sini.
“Saya harap kerjasama gerak kerja parti dalam persefahamanan kita ini akan dapat diterjemahkan pada Sabtu ini. Insya-Allah BN dan calon-calon PN di kawasan yang mereka bertanding itu akan meraih kejayaan,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
