Jangan Salah Undi… Nilai Komitmen Calon Selepas 14 November – Azalina

MELAKA, 10 Nov – Pengundi diingatkan supaya tidak hanya memikirkan soal kemenangan pada hari pengundian 14 November, sebaliknya perlu menilai siapa yang benar-benar akan terus bekerja dan membantu menyelesaikan masalah penduduk selepas keputusan pilihan raya diketahui.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengundi perlu melihat rekod pengalaman, keupayaan serta kesungguhan calon untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya dalam menangani isu-isu tempatan.

Menurut beliau, perkara paling penting bukan sekadar apa yang dijanjikan sepanjang tempoh berkempen, tetapi siapa yang akan kekal bersama penduduk dan meneruskan kerja selepas pilihan raya berakhir.

“Yang penting bukan 14 hari bulan, hari buang undi. Saya selalu cakap, yang penting ialah 15 hari. Selepas kita buang undi, kita kena mulakan kerja-kerja kita yang sebenar. Itu yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh keperluan menyelesaikan beberapa isu setempat, termasuk kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan yang turut mempunyai nilai ekonomi dan warisan kerana berada di laluan berkaitan kawasan UNESCO, seperti Jonker Walk.

Katanya, kawasan itu mempunyai potensi ekonomi yang besar, namun memerlukan perhatian serius bagi meningkatkan kemudahan serta taraf kehidupan penduduk dan peniaga.

Azalina turut menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Jasmine Lok, sebagai calon muda yang mempunyai pengetahuan mengenai kawasan berkenaan serta menawarkan tenaga dan komitmen untuk membawa perubahan.

Beliau berkata, kelebihan Jasmine juga terletak pada pengalaman dan keselarasan dengan kerajaan negeri yang boleh membantu memastikan isu-isu tempatan mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya.

KOTA MELAKA 10 Dis–Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said bersama dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Jasmine Lok

“Kalau undi calon lain yang tidak selari dengan kerajaan negeri, rugilah kerana ini isu tempatan. Ahli Parlimen biarlah daripada pihak lain, tetapi ADUN biarlah daripada BN supaya orang tempatan yang mendapat manfaat,” katanya.

Beliau turut mengajak pengundi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk membuktikan kemampuan mereka, selain membuka ruang kepada Jasmin untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan kawasan sekiranya diberikan mandat.

“Dia muda, dia menawarkan tenaga dia dan dia pun tahu kawasan ini. Kalau inilah tawaran dan cabaran yang diberikan, berilah orang di sini peluang untuk memberikan peranan kepada orang baharu.

“Kalau ada rezeki, dia boleh diberikan tanggungjawab lebih besar supaya dapat membantu pengundi di sini,” katanya.

Azalina juga mengingatkan pengundi supaya tidak mensia-siakan undi dengan membuat pilihan berdasarkan pertimbangan jangka panjang, bukannya sekadar terpengaruh dengan kempen sepanjang tempoh pilihan raya.

“Selepas 14 November, siapa yang akan selesaikan masalah di sini? Siapa lagi? Jasminlah. Jangan salah undi,” tegasnya lagi yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi merangkap Ahli Parlimen Pengerang. – UMNO Online

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO