Gelombang Biru Telok Mas, BN-Pas Kukuh Sokong Tok Ajak

KOTA MELAKA, 10 Nov – Pentas Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) yang diadakan serentak malam tadi di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka memperlihatkan kerjasama antara pimpinan BN dan Pas menerusi kehadiran serta penyertaan mereka dalam menyampaikan ucapan kepada masyarakat setempat.

Di Bilik Gerakan BN Telok Mas, barisan kepimpinan BN dan Pas mengambil tempat bagi menyantuni masyarakat serta menyatakan sokongan kepada calon BN bagi DUN berkenaan, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Ajak.

Antara penceramah BN yang hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Ustaz Fathul Bari Mat Jahya; Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.

Turut hadir pimpinan Pas iaitu Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar serta Yang Dipertua Pas Kota Melaka, Ustaz Sudin Noh.

Menerusi ceramahnya, Ustaz Fathul Bari berkata rakyat perlu menilai kepimpinan BN di Melaka berdasarkan rekod pencapaian dan hasil kerja yang telah dilaksanakan sepanjang lima tahun mentadbir negeri itu.

Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan merangkumi aspek kebajikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, kemudahan Wi-Fi percuma, komunikasi dan pendidikan.

“Dan untuk DUN Telok Mas ini, calon BN, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman adalah pemimpin yang terbaik.

“Saya pun tak tahulah kalau ada pihak selain daripada itu. Malahan, ada benda lain, pilih kerana benci, pilih kerana hasad, pilih kerana tak suka pada politik, tetapi apa hasil yang dibuat? Pada saya, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Tok Ajak dan BN telah melakukan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kota Melaka, Ustaz Sudin Noh dalam ucapannya menyeru semua pihak agar mengutamakan kesatuan dan menjadikan ketakwaan sebagai asas kekuatan bersama.

Beliau berkata perbezaan fahaman politik dan kepelbagaian aliran pemikiran tidak seharusnya menjadi punca perpecahan sehingga melemahkan kekuatan masyarakat.

“Wahai saudara-saudaraku sekalian, bangunlah. Bangunlah kita semua. Buangkan segala kekusutan, padamkan apa yang membara. Jadikan takwa paksi kita bersama, kembali bersatu membina watan sejahtera.

“Kita tidak boleh lagi membiarkan perbezaan politik sesama kita ataupun kepelbagaian aliran pemikiran menjadi benih-benih perpecahan. Cukup-cukuplah,” ujarnya.

Kehadiran pimpinan BN dan Pas pada pentas berkenaan turut menjadi ruang untuk menyatakan sokongan kepada Tok Ajak, selain membawa mesej kerjasama dan muafakat dalam kalangan pimpinan yang hadir.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO