Cikgu Rosli Lebih ‘Qawi’ Berbanding Pihak Lawan Di DUN Kuala Linggi

KUALA LINGGI, 10 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dilihat lebih ‘qawi’ berbanding pihak lawan, ujar Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ampang Mohamad Anas Mohamad Naem.

Ujarnya, penyandang kerusi itu yang juga dikenali dengan panggilan Cikgu Rosli atau Tok Li terbukti berpengalaman sebagai wakil rakyat dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dalam menjaga kepentingan masyarakat.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Rosli yang sebelum ini pernah menjadi guru lebih 20 tahun ditentang calon dari Pakatan Harapan (PH-Amanah) Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah dan Nur Farhana Hamzah dari Bersama.

“Allah SWT melalui al-Quran menggariskan dua sifat penting dalam memikul tanggungjawab, iaitu ‘al-Qawiyy al-Amin’ (berkemampuan dan amanah).

“Dalam kepimpinan, ‘al-Qawiyy’ merangkumi keupayaan, pengalaman dan kebijaksanaan mengurus tanggungjawab. Mukhlis mungkin berhasrat untuk berkhidmat kepada masyarakat, namun masih banyak pengalaman yang perlu beliau timba.

“Berbanding Cikgu Rosli yang telah berkhidmat sepenggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, kelebihan pengalaman berada pada pihak Cikgu Rosli,” katanya kepada UMNO Online.

Mohamad Anas sebelum itu berucap di Pentas Gelombang Biru di sini.

Jelasnya lagi, hubungan dengan pemimpin tertinggi negara bukan jaminan kemampuan memimpin, apatah lagi kedudukan politik boleh berubah.

“Justeru, kepimpinan perlu dinilai berdasarkan kemampuan, amanah dan rekod perkhidmatan, bukan semata-mata populariti atau hubungan politik,” tegasnya lagi.

Pada PRN Melaka lalu, Rosli menang di kerusi DUN Kuala Linggi dengan majoriti 1,836 undi, menewaskan tiga lagi pencabar. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO