Ahmad Zahid Raikan Pelajar Malaysia Di Türkiye

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meluangkan masa meraikan anak-anak Malaysia yang sedang menuntut ilmu di Türkiye serta warga Kedutaan Malaysia menerusi satu majlis makan malam di Istanbul, semalam.

Pertemuan dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan itu memberi peluang kepada beliau bertemu, bertanya khabar serta mendengar sendiri pengalaman pelajar Malaysia yang meneruskan pengajian jauh dari tanah air.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, usaha pelajar berkenaan menuntut ilmu di perantauan membuktikan kesungguhan mereka dalam mengejar cita-cita serta membawa harapan besar untuk masa depan negara.

Lebih membanggakan, seramai 17 pelajar Malaysia menjadi kumpulan pertama penerima tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melanjutkan pengajian di Sabancı University, Türkiye.

Menurut beliau, pelajar terbabit kini mengikuti pelbagai bidang pengajian strategik bagi tempoh empat tahun, dengan rata-ratanya baru memulakan semester pertama.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh diplomasi pendidikan dengan Türkiye.

“Saya telah meminta MARA agar menggandakan bilangan ini pada tahun depan agar lebih banyak peluang kepada anak-anak Malaysia untuk mendapatkan pendidikan dan pendedahan antarabangsa,” katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau turut berpesan kepada para pelajar supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia untuk menimba ilmu, menguasai kemahiran baharu dan membina jaringan antarabangsa.

Pada masa sama, mereka diingatkan agar tidak melupakan jati diri sebagai rakyat Malaysia walaupun berada jauh di perantauan.

Ahmad Zahid turut menyuarakan harapan agar para pelajar berkenaan kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajian dengan membawa kepakaran serta pengalaman untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Tuntutlah ilmu setinggi mungkin, bina pengalaman seluas mungkin, dan suatu hari nanti pulanglah membawa kepakaran untuk menyumbang kepada negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kedutaan Malaysia, para pelajar dan semua pihak yang menjayakan pertemuan berkenaan.

“Walau sejauh mana kita merantau, Malaysia tetap di hati,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO