Solidariti UMNO-Pas Seluruh Negara, Bersama Pertahan Institusi Raja

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Solidariti UMNO dan PAS di seluruh negara dalam membuat laporan polis terhadap Peguam Negara berhubung dakwaan keingkaran terhadap titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkaitan isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak mencerminkan komitmen bersama mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat bahagian serta kawasan di seluruh negara yang tampil menyatakan solidariti dalam isu berkenaan.

Beliau turut menghargai penglibatan sayap Wanita UMNO dan Muslimah PAS, Pemuda UMNO dan Pemuda PAS, Puteri UMNO dan Amirah PAS serta Veteran UMNO dan Assabiqun PAS yang bersama-sama membuat laporan polis.

“Solidariti ini mencerminkan komitmen bersama dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan,” katanya.

Menurutnya, keberanian seluruh kepimpinan dan anggota kedua-dua parti untuk tampil menyatakan pendirian menunjukkan kesepakatan dalam memperjuangkan prinsip kedaulatan undang-undang serta menghormati institusi diraja.

“Daulat Tuanku, Rakyat bersama Tuanku,” ungkapnya lagi menerusi hantaran di laman Facebooknya mengulas berkaitan perkembangan isu terbabit. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO