Azman Hargai Kerjasama Jentera Bantu Kempen BN Serkam
SERKAM, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN Johor dan Serkam atas komitmen serta gerak kerja membantu kempen sepanjang tempoh dua minggu lalu.
Beliau berkata, kempen kini memasuki minggu ketiga dengan hanya berbaki lima hari sebelum hari pengundian, sekali gus menuntut seluruh jentera terus mempergiat usaha mendekati pengundi.

“Saya nak ucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua jentera-jentera daripada Johor dan juga Serkam, kerana gerak kerja yang telah dijalankan daripada dua minggu yang lepas.
“Insya-Allah kita cuma ada tinggal lima hari lagi untuk gerak kerja yang akan kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Rakyat di DUN Serkam, di sini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Hj Sidek serta pimpinan BN yang lain.
Dalam pada itu, Azman turut menghargai kerjasama Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin serta ketua-ketua cawangan PAasdi DUN Serkam dalam membantu gerak kerja kempen BN.
Beliau berharap kerjasama berkenaan dapat diteruskan bagi memastikan sokongan dan undi diberikan kepada calon BN pada hari pengundian.
Azman turut memaklumkan usaha penyelarasan bantuan kempen antara BN dan Pas di beberapa kawasan lain termasuk Bemban dan Bukit Katil sebagai sebahagian daripada kerjasama politik yang sedang digerakkan.
Katanya, sekiranya kerjasama antara kedua-dua jentera berjalan lancar, beliau yakin ia mampu membantu mencapai kemenangan besar di negeri Melaka.- UMNO Online
