Titah Pengampunan: Onn Hafiz Ajak Kepimpinan Johor Buat Laporan Polis

SERKAM, 8 Nov – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengajak seluruh kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor membuat laporan polis berhubung kenyataan Peguam Negara berkaitan isu titah pengampunan.

Beliau menyifatkan kenyataan yang dibuat Peguam Negara itu sebagai satu penderhakaan kerana titah yang telah diputuskan tidak dipatuhi.

“Bila saya melihat kenyataan yang dibuat oleh AG semalam, saya anggap kenyataan itu satu penderhakaan. Apa yang telah dititah tidak diikut dengan pelbagai alasan.

“Mahkamah sudah putuskan, Lembaga Pengampunan dah putuskan, syarat telah diikut, tetapi masih lagi ada tangan-tangan ghaib yang ingin menidakkan apa yang telah dititahkan, apa yang telah diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Rakyat di DUN Serkam, di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta seluruh kepimpinan bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua-ketua sayap UMNO Johor bersama-sama membuat laporan polis selepas program berkenaan.

“Saya minta habis saja program ini, semua kepimpinan bahagian, semua ADUN-ADUN, semua ketua-ketua sayap daripada negeri Johor, kita balik sama-sama buat polis report,” katanya.

Turut hadir calon BN DUN Serkam, Datuk Azman Abdullah, Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Hj Sidek serta pimpinan BN yang lain.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO