Manifesto BN Realistik, Tawar Penyelesaian Keperluan Rakyat
ALOR GAJAH, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal Datuk Dr Mustafa Musa menyifatkan manifesto BN Melaka sebagai tawaran realistik yang mampu dilaksanakan demi memastikan kehidupan rakyat di negeri ini lebih selesa dan sejahtera.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah berkata setiap tawaran yang digariskan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya mengambil kira keupayaan kerajaan BN untuk melaksanakannya sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
“Manifesto ini realistik untuk dilaksanakan. Kita bukan sekadar menjanjikan sesuatu, sebaliknya setiap tawaran yang dikemukakan mampu direalisasikan oleh kerajaan BN demi memastikan kehidupan rakyat Melaka lebih selesa.
“Jika diteliti secara keseluruhan, saya berpendapat manifesto ini merupakan tawaran terbaik dan amat malang sekiranya rakyat tidak memberikan sokongan kerana inilah manifesto untuk rakyat dan demi rakyat, yang akan dilaksanakan oleh wakil rakyat pilihan mereka,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Dalam pada itu, Mustafa turut menyambut baik kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang julung kali dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Katanya, kesepakatan tersebut memperlihatkan kesungguhan kedua-dua gabungan dalam menyatukan kekuatan bagi menawarkan hala tuju serta pendekatan pembangunan yang memenuhi keperluan rakyat
“Ini merupakan kali pertama BN dan Perikatan Nasional (PN) tampil bersama menerusi Muafakat Melaka dalam pilihan raya ini.
“Kerjasama ini jelas mendapat reaksi positif apabila pemimpin daripada parti komponen BN dan PN, malah rakyat yang hadir dalam dewan turut menarik nafas lega apabila satu persatu tawaran manifesto dibentangkan.
“Ini kerana manifesto yang diketengahkan merupakan tawaran yang dekat dengan kehidupan rakyat, diperlukan setiap hari dan sememangnya menjadi harapan mereka.
“Justeru, tahniah kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kerana manifesto ini pada pandangan saya benar-benar menepati naluri serta denyut nadi rakyat,” ujar beliau.
Terdahulu, Abd Rauf melancarkan manifesto antara BN-PN, yang menggariskan satu matlamat, enam teras dan 113 inisiatif menerusi tema ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’.
Antara tawaran utama yang diketengahkan dalam manifesto berkenaan adalah bil air percuma bagi penggunaan di bawah 20 meter padu sebulan, pembinaan 25,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun serta penyediaan perkhidmatan ambulans percuma.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
