PRN Melaka: Gabungan Calon BN Seimbang, Kesinambungan Kepimpinan
HANG TUAH JAYA, 8 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin menyifatkan gabungan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai kombinasi seimbang yang merangkumi calon muda, muka baharu serta pemimpin berpengalaman.
Beliau berkata gabungan itu mencerminkan keprihatinan kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan pusat dalam memastikan kesinambungan kepimpinan.
“Ini merupakan kombinasi seimbang yang merangkumi calon muda, calon baharu serta calon berpengalaman di Melaka. Ia menunjukkan keprihatinan pimpinan yang bukan sahaja mahu memastikan kesinambungan, malah memberi peluang kepada wajah baharu untuk menabur khidmat bakti sebagai wakil rakyat.
“Ini juga mencerminkan hasrat pimpinan untuk meneruskan usaha serta kecemerlangan kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran BN sebelum ini. Kita melihat kesinambungan itu penting demi memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Mengulas lanjut, Rosnah berkata pendekatan politik yang hanya bergantung kepada kekuatan parti tanpa mengambil kira keupayaan calon sudah tidak lagi relevan.
Menurut beliau ini kerana pengundi kini lebih mengutamakan wakil rakyat yang mampu membawa perubahan kepada kehidupan mereka.
“Pengundi Melaka mahu melihat wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah mereka, menawarkan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi serta membawa pembangunan kepada kawasan masing-masing.
“Paling penting, kebajikan rakyat perlu diberikan keutamaan dan perkara ini dizahirkan menerusi pertemuan serta lawatan kami bersama pengundi daripada pelbagai peringkat umur,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
