UMNO Teguh Junjung Kedaulatan Agong, Tuntut Tahanan Rumah Najib Dilaksana

KUALA LUMPUR, 7 Nov – UMNO bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menjunjung kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong, demikian ditegaskan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, UMNO menjunjung kasih atas titah tegas Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat membayar denda RM50 juta.

Menurutnya, seperti titah Tuanku, memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO berpendirian titah tegas Tuanku ini boleh membawa kepada maksud wujudnya tindakan penderhakaan dan Malaysia tidak boleh dibiarkan ditadbir dan diurus oleh pihak yang jelas membelakangi peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara,” katanya.

Sehubungan itu, UMNO menuntut pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan dibuat serta-merta dan pihak yang mengingkari perintah berkenaan dikenakan tindakan tegas berdasarkan undang-undang.

“UMNO bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menjunjung kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Semoga Allah memelihara kemuliaan Tuanku dan menyelamatkan Malaysia daripada tangan-tangan yang cuba merobek kedaulatan institusi payung negara,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO