Malaysia-Türkiye Perkukuh Hubungan Strategik, Teroka Kerjasama Pelbagai Sektor

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Hubungan persahabatan Malaysia dan Türkiye yang terjalin sejak enam dekad lalu terus diperkukuh menerusi usaha memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, industri pertahanan, teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta industri halal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama kedua-dua negara perlu diperluas melangkaui bidang perdagangan bagi membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik pada masa hadapan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menyertai TRT World Forum 2026 sebagai ahli panel bagi sesi “Türkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor”, selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan semalam.

Menurut Ahmad Zahid, beliau turut berkongsi perspektif Malaysia mengenai peranan Türkiye sebagai kuasa strategik yang berada di persimpangan Eropah, Asia Barat dan Asia Tengah.

“Saya telah menekankan kepentingan memperluas kerjasama kedua-dua negara melangkaui perdagangan, khususnya dalam industri pertahanan, teknologi, TVET dan industri halal, di samping memperkukuh hubungan strategik Türkiye dengan ASEAN,” katanya.

Beliau berpandangan Türkiye berupaya memainkan peranan penting sebagai kuasa pengimbang dalam landskap geopolitik dunia.

“Malaysia akan terus menjadi rakan strategik yang komited bagi memperkukuh kerjasama demi keamanan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Hubungan Malaysia-Türkiye yang telah terjalin selama enam dekad itu menjadi asas kepada usaha kedua-dua negara meneroka peluang kerjasama yang lebih luas demi kepentingan bersama. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO