Hormati Titah YDPA, Jangan Biarkan Hak Terus Tergantung – Haslinda
MELAKA, 7 Nov – Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Johor, Haslinda Salleh mempersoalkan penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang disifatkan menimbulkan persoalan berhubung hak, kepastian undang-undang serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
Tegasnya, keadaan tersebut menimbulkan persoalan mengapa pelaksanaan tahanan di rumah berkenaan masih ditangguhkan sedangkan syarat pembayaran denda yang dinyatakan telah dipenuhi.
“Penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, menimbulkan persoalan besar tentang hak, keadilan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
“Apabila syarat pembayaran denda RM50 juta telah diselesaikan pada 6 November 2026, dan perintah pengampunan bersyarat telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), sudah tentu timbul persoalan mengapa pelaksanaannya masih ditangguhkan.
“Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan alasan perlu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran perintah pengampunan dan kesan perintah mahkamah. Namun, persoalan ini seharusnya diselesaikan dengan segera melalui saluran perundangan yang betul,” katanya.
Menurut Haslinda, terdapat tiga prinsip utama yang perlu diberikan perhatian, iaitu titah pengampunan YDPA perlu dihormati, undang-undang mesti dilaksanakan secara telus dan konsisten serta hak seseorang yang telah memenuhi syarat ditetapkan tidak seharusnya dibiarkan tanpa kepastian.
“Ini bukan soal meminta sesiapa mengatasi undang-undang. Bukan juga soal seseorang itu kebal daripada hukuman. Ini soal keadilan yang mesti dilaksanakan tanpa pilih kasih, tanpa campur tangan mana-mana pihak dan tanpa menimbulkan persepsi wujudnya layanan berbeza,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis menegaskan, sekiranya masih terdapat persoalan berkaitan kedudukan undang-undang, perkara itu perlu diselesaikan dengan segera agar tidak menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap kewibawaan institusi negara.
“Jika syarat telah dipenuhi, berikan hak. Jika masih ada persoalan undang-undang, selesaikan segera. Jangan biarkan rakyat tertanya-tanya tentang kedudukan undang-undang dan kewibawaan institusi negara.
“Keadilan bukan sahaja tentang hukuman yang dijatuhkan, tetapi juga tentang bagaimana sesuatu keputusan dilaksanakan dengan penuh integriti,” tegasnya lagi.
Tambah beliau, undang-undang mesti dihormati, institusi Raja mesti dimuliakan dan keadilan mesti ditegakkan. – UMNO Online
