Johor Perkukuh Pelaburan Sektor Pertanian, Agromakanan Berteknologi Tinggi – Md Israk
JOHOR BAHRU, 6 Nov – Kerajaan Negeri Johor terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pelaburan dalam sektor pertanian dan agromakanan menerusi kerjasama strategik bersama Invest Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Haji Md Israk Abdullah berkata, perkara itu dibincangkan dalam satu sesi perbincangan bersama Invest Johor yang diketuai Ketua Eksekutifnya, Tuan Haji Natazha Harris.
Menurut beliau, antara fokus utama perbincangan adalah usaha memudah cara kemasukan pelaburan domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI), selain mengenal pasti kawasan berpotensi untuk dibangunkan.
“Turut diteroka ialah peluang pelaburan dalam sektor pertanian moden dan berteknologi tinggi,” katanya.
Sesi perbincangan itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Tuan Haji Yosri Mohd dan Pengurus Kanan Johor Biotech, Ts. Ramlee Ahmad.
Md Israk berkata, kerjasama berkenaan akan terus diperkukuh bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi, merancakkan pertumbuhan sektor pertanian dan agromakanan serta memperkukuh keterjaminan makanan Negeri Johor.- UMNO Online
