Tabung Solidariti Najib Razak Capai Sasaran, Akaun Rasmi Ditutup
KUALA LUMPUR, 6 Nov – UMNO mengumumkan kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah mencapai sasaran dan mencukupi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu juga telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata UMNO secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan bagi menerima sumbangan orang ramai.
“Dengan ini, tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam (crowdfunding) bagi tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, UMNO turut merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT serta penghargaan kepada seluruh ahli UMNO dan orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sumbangan sejak tabung berkenaan dilancarkan.
“UMNO ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah dan merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli UMNO seluruh Malaysia dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang ke dalam akaun yang disediakan sejak hari pertama,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan mencapai sasaran kutipan itu mencerminkan sokongan dan keprihatinan para penyumbang terhadap usaha membantu bekas Presiden UMNO berkenaan. – UMNO Online
