Jangan Salah Tafsir Kerjasama, Damaikan Politik Melayu – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 6 Nov – Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang alasan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan meskipun membuka ruang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, kerjasama politik di peringkat negeri tidak seharusnya disalah tafsir sebagai petanda BN menggugat atau meninggalkan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, BN merupakan antara parti utama yang mencetuskan pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), justeru tidak timbul keperluan untuk parti itu berpaling tadah daripada kerajaan yang turut diasaskannya.

“Tidak ada sebab mengapa Barisan Nasional perlu keluar daripada Kerajaan Perpaduan kerana kita yang menubuhkan kerajaan. Melainkan kita tidak diperlukan lagi,” katanya dalam wawancara bersama UMNO Online baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, pembentukan kerajaan ketika itu bermula melalui gabungan BN yang memiliki 30 kerusi Parlimen dan PH dengan 82 kerusi, sebelum disertai parti-parti lain yang kemudiannya mengukuhkan lagi sokongan majoriti kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“… tertubuhnya kerajaan perpaduan dulu adalah antara BN dengan PH, parti yang lain-lain datang kemudian selepas tertubuhnya kerana cukup kerusi kita ada 30 dan PH ada 82 cukup bentuk kerajaan. “
Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, BN tidak akan mengambil tindakan menarik diri selagi tiada perkara besar yang tidak dapat dielakkan atau pertikaian serius yang gagal diselesaikan.
“Melainkan ada sesuatu yang tidak dapat dielakkan, pertentangan yang tidak boleh kita selesaikan, itu lain cerita. Tetapi setakat hari ini, tidak ada sebab mengapa BN perlu menarik diri atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad melihat usaha menjalin kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka sebagai pendekatan yang tidak bercanggah dengan kedudukan BN dalam kerajaan pusat.
Mesej beliau jelas iaitu kerjasama pilihan raya di peringkat negeri tidak semestinya membawa kepada perubahan pendirian politik di peringkat Persekutuan.
Malah, beliau menegaskan bahawa gelombang biru yang dibawa BN bukan sekadar agenda memperkukuh parti itu sendiri, sebaliknya membawa mesej lebih besar iaitu penyatuan orang Melayu yang semakin berpecah akibat persaingan politik sesama sendiri.
“Gelombang biru ini bukan khusus untuk Barisan Nasional sahaja. Gelombang ini adalah gelombang penyatuan ummah, yang mana orang Melayu mahu melihat perpecahan-perpecahan dalam kalangan orang Melayu ini diperbetulkan.”
Katanya, seruan penyatuan itu bertepatan dengan kehendak rakyat yang mahu melihat orang Melayu kembali bersatu dan tidak terus kehilangan kekuatan akibat pertembungan politik dalaman.
Mengambil iktibar daripada keputusan PRU15, Mohamad berkata, kekalahan parti-parti Melayu bukan semata-mata disebabkan kekuatan lawan, tetapi turut berpunca daripada pertembungan sesama parti teras Melayu.
Beliau mengingatkan bahawa perpecahan sedemikian hanya menguntungkan pihak lain, sedangkan kekuatan politik orang Melayu semakin terhakis.
“Kita tidak kalah disebabkan oleh kekuatan pihak lawan, tetapi kita kalah kerana pertembungan parti-parti teras Melayu.”
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengetepikan persengketaan politik dan memperkukuh silaturahim demi kepentingan masyarakat serta masa depan orang Melayu.
“Kita bukan menyeru kepada perpecahan, tetapi menyeru supaya cukup-cukuplah orang Melayu ini berpecah. Cukup-cukuplah masyarakat berpecah kerana perpecahan itu tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.”
Mohamad kini berada di Antigua & Barbuda bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Komanwel Ke-28 (CHOGM) 2026.
Terdahulu pada hari penamaan calon yang berlangsung 31 Okt lalu, Mohamad berkesempatan mengiringi calon BN DUN Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid yang merupakan calon baharu bagi mempertahankan kerusi BN di DUN terbabit.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini.
Hari pengundian awal pula dijadualkan pada 10 November, manakala hari penamaan calon berlangsung pada 31 Oktober lalu. – UMNO Online
