Dira Sedia Sambung Khidmat Lima Tahun Lagi Untuk Rakyat Rim
JASIN, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar menyatakan kesediaannya untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat setempat bagi tempoh lima tahun lagi sekiranya diberikan kepercayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata, peluang membawa perjuangan parti dan berkhidmat bersama masyarakat setempat merupakan satu amanah besar yang amat dihargainya.

Menurutnya, beliau mahu terus memberikan sepenuh komitmen, jiwa dan tenaga bagi memastikan keperluan serta kepentingan penduduk di kawasan DUN Rim terus diberi perhatian.
“Saya tak nak janji bulan dan bintang, saya tak nak bagi visi dan misi macam nak buat KLCC dekat sini, itu benda tak logik.
“Apa yang saya boleh janjikan adalah saya bagi sepenuh jiwa dan hati saya ini dan seluruh tenaga saya untuk orang kampung Rim dan juga DUN Rim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni warga setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rim, di sini.
Dira yang pernah bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 berkata, pengalaman berkempen ketika pandemik COVID-19 berbeza berbanding kali ini apabila beliau berpeluang bertemu masyarakat secara lebih dekat dan terbuka.

Katanya, peluang tersebut turut memberi makna besar apabila dapat bergerak bersama kepimpinan parti serta masyarakat setempat dalam membawa perjuangan untuk kawasan berkenaan.
Beliau turut berkongsi pengalaman meninggalkan kehidupan di Kuala Lumpur untuk kembali menetap di kampung, keputusan yang tidak pernah dikesalinya kerana dapat bersama masyarakat dan memahami kehidupan penduduk setempat.
“Dan saya tidak pernah menyesal meninggalkan kota Kuala Lumpur dan balik ke kampung dulu rumah saya. Lama lima tahun dan saya nak sambung lagi kontrak saya lagi lima tahun,” katanya.- UMNO Online
