Siti Aisyah Perhebat Kempen, Santuni Pengundi Pengkalan Batu

HANG TUAH JAYA, 5 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood terus mempergiat gerak kerja kempen menerusi pendekatan turun padang bagi menyantuni pengundi di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian berkata, usaha itu dilaksanakan secara berterusan dengan mengunjungi kediaman penduduk dan premis perniagaan bagi memperkenalkan diri serta mendengar maklum balas masyarakat setempat.

“Saya telah ke beberapa kampung antaranya Kampung Bachang dan Kampung Bachang Tengah, malah ke kawasan perumahan flat di Batu Berendam serta singgah di beberapa premis perniagaan untuk memperkenalkan diri kepada pengundi.

“Saya cuba sedaya upaya menyantuni seramai mungkin pengundi dan memperkenalkan diri kerana mungkin masih ramai yang tertanya-tanya siapa Aisyah,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian kepada usaha mendekati golongan muda menerusi program yanh dilaksana.

Aisyah turut memaklumkan beberapa program yang melibatkan golongan tersebut turut memberi ruang kepada mereka untuk mengetengahkan idea serta menentukan sendiri bentuk aktiviti bersesuaian dengan minat dan kreativiti masing-masing.

“Sebelum itu, saya sendiri telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin muda yang berpengaruh di kawasan berkenaan dan meminta mereka menentukan sendiri bentuk program yang ingin dilaksanakan.

“Saya mahu memberi ruang kepada golongan muda untuk berkarya mengikut kreativiti dan pendekatan mereka sendiri, bukannya terlalu terikat dengan kehendak saya. Biarlah mereka memilih cara yang dirasakan paling sesuai untuk mendekati saya,” ujar beliau.

Untuk rekod penyandang Datuk Kalsom Noordin pada PRN 2021 memenangi kerusi tersebut selepas meraih 4,839 undi dengan majoriti 131, dalam pertembungan empat penjuru.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO