Mohd Isam Cadang KPKM Beri Kadar Sewaan Bersubsidi Untuk Penternak

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mencadangkan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memberikan kadar sewaan bersubsidi bagi penternak yang menyertai program peningkatan pengeluaran daging lembu tempatan.

Ujarnya, para penternak berdepan dengan pelbagai peningkatan kos penternakan termasuk tiga masalah utama yang memerlukan perhatian.

“Kita selalu mendengar mengenai usaha kementerian untuk meningkatkan pengeluaran daging lembu domestik, mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh keterjaminan bekalan protein negara.

“Namun, sejauh manakah Kementerian benar-benar memahami masalah yang sedang dihadapi oleh penternak lembu tempatan? Hari ini, penternak bukan sahaja berdepan dengan pelbagai peningkatan kos penternakan, tetapi turut berdepan dengan tiga masalah utama yang memerlukan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Ulasnya, para penternak kini sedang berdepan dengan kekurangan kakitangan dan pegawai veterinar di samping kegiatan penyeludupan lembu yang menjejaskan persaingan pasaran.

“Pertama, kekurangan kakitangan dan pegawai veterinar yang menyebabkan perkhidmatan kesihatan haiwan serta sokongan teknikal kepada penternak tidak dapat diberikan secara optimum.

“Saya ingin mengetahui, adakah terdapat perancangan untuk menambah kakitangan veterinar, khususnya di Tampin menerusi belanjawan kali ini dan apakah nisbah pegawai veterinar yang sedang berkhidmat pada masa ini berbanding jumlah populasi ternakan lembu yang perlu dipantau?

“Keduanya, kegiatan penyeludupan lembu yang menjejaskan persaingan pasaran, harga jualan dan pendapatan penternak tempatan. Sungguhpun, pelbagai intervensi telah dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk menangani penyeludupan lembu. Namun, masalah ini masih terus berleluasa.

“Justeru, sejauh manakah kerjasama Kementerian bersama agensi penguat kuasa yang berautoriti untuk menamatkan isu penyeludupan lembu ini? Berapakah jumlah tangkapan dan pendakwaan yang telah dibuat terhadap penyeludup serta pihak yang terlibat dalam rangkaian pengedaran?” soalnya.

Tambahnya, kadar sewaan tanah lot penternakan di bawah pengawasan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang tinggi turut membebankan penternak.

“Ketiga, kadar sewaan tanah lot penternakan di bawah pengawasan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang tinggi sehingga membebankan penternak, khususnya pengusaha kecil dan sederhana.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana tanah merupakan keperluan asas bagi penternakan lembu, khususnya bagi penternak yang menjalankan sistem ternakan secara intensif dan separa intensif.

“Tanah ternakan yang disediakan kerajaan sepatutnya menjadi instrumen untuk membantu industri penternakan berkembang, bukannya menjadi satu lagi beban kos yang menyukarkan penternak.

“Saya mencadangkan agar kementerian memberikan kadar sewaan bersubsidi bagi penternak yang menyertai program peningkatan pengeluaran daging lembu tempatan supaya dapat membantu mengurangkan kos pengeluaran dan pada masa yang sama menggalakkan peningkatan bekalan daging domestik,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO